| Talam mahu fokus kepada 
    hartanah premium 16/01/2008 Utusan Malaysia KUALA LUMPUR 16 Jan. – Talam Corporation Bhd. (Talam), yang sebelum ini 
    pernah digelar konglomerat hartanah tempatan, mahu memberi lebih fokus 
    sebagai pemaju hartanah premium apabila syarikat itu kembali pulih. Pengarah 
    Eksekutifnya, Chua Kim Lan berkata, pada masa ini, Talam disenaraikan oleh 
    Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebagai syarikat berstatus PN17.
 
 PN17 merupakan satu peraturan yang ditetapkan oleh SC terhadap sesebuah 
    syarikat yang mempunyai risiko untuk dinyah senarai, sekiranya tidak 
    mengemukakan pelan penyusunan semula kedudukan kewangan syarikat dalam masa 
    lapan bulan.
 
 Syarikat sedang berusaha untuk menggugurkan status itu (PN17) bagi 
    mengembalikan semula kedudukannya, katanya pada sidang akhbar bagi 
    mengumumkan kedudukan Talam, di sini hari ini.
 
 Beliau berkata, syarikat itu akan melakukan penjenamaan semula supaya Talam 
    dapat memulihkan keyakinan pemegang saham dan pembeli, serta bakal pembeli 
    bagi projek-projek kediaman di bawah jenama syarikat itu.
 
 Sebelum menghadapi masalah, Talam merupakan salah sebuah syarikat hartanah 
    yang terkemuka di negara ini dengan beberapa projek berjaya dilaksanakan 
    termasuk Bukit Sentosa, Saujana Puchong, Kinrara Seksyen 3, Lestari Perdana, 
    Danau Putra, Bukit Beruntung, Pulau Melaka, Sunway Perdana dan Ukay Perdana.
 
 Talam kini mempunyai hutang semasa berjumlah kira-kira RM1.1 bilion 
    berbanding RM3 bilion sebelum ini.
 
 Kim Lan berkata, bagi kerja-kerja pembinaan, Talam akan meneruskan 
    kerjasamanya dengan IJM Construction Sdn. Bhd. (IJMC), yang telah dimulakan 
    sejak 2006,
 
 ‘‘Kami mahu menumpukan fokus syarikat sebagai pemaju hartanah bagi 
    projek-projek di atas bank tanah milik Talam,’’ katanya.
 
 Ketika ditanya bila Talam akan digugurkan daripada senarai PN17, Kim Lan 
    berkata, pihaknya masih menunggu keputusan daripada SC.
 
 ‘‘Pengurusan dalaman kami menjangkakan dalam bulan ini,’’ tambahnya.
 
 Pengerusi Eksekutif Talam, Tan Sri Dr. Ir. Chan Ah Chye, sebelum ini 
    mengakui kedudukan kewangan syarikat terjejas kerana tidak memberi tumpuan 
    penuh kepada pengawasan projek sehingga mengakibatkan banyak projek 
    perumahan Talam mengalami masalah.
 
 Kim Lan menjelaskan bahawa Talam telah berjaya memanfaatkan nama IJMC 
    melalui projek-projeknya yang tergendala.
 
 ‘‘IJMC telah memberi komitmen yang begitu tinggi dan telah menghasilkan 
    projek kediaman berkualiti dan mampu memberi kepuasan kepada pembeli,’’ ujar 
    beliau.
 
 Tambah beliau, IJMC telah dilantik sebagai kontraktor utama bagi menyiapkan 
    projek Talam, yang tergendala bernilai RM700 juta, membabitkan sejumlah 
    8,439 unit kediaman bertanah dan apartmen yang telah habis dijual.
 |