| Talam jangka siap 11,172 rumah, 
    apartmen14/01/2008 Berita Harian
 
 TALAM Corporation Bhd menjangka menyiapkan dan menyerahkan semua 11,172 unit 
    rumah dan apartmen bernilai RM825 juta yang dimajukannya, tetapi sebelum ini 
    tertangguh, dalam tempoh antara enam hingga 18 bulan.
 
 Pengarah Eksekutifnya Chua Kim Lan, berkata syarikat itu memberi kontrak 
    pembinaan 2,733 unit rumah dan apartmen lima projek iaitu Taman Lestari 
    Puchong, Saujana Puchong, Saujana Putra, Lestari permai dan Jalil Heights 
    yang bernilai RM125 juta kepada IJM Construction Sdn Bhd.
 
 “IJM Construction juga sudah diberikan kontrak untuk menyiapkan 8,439 unit 
    rumah dan apartmen bernilai RM700 juta bagi enam projek iaitu Taman Puncak 
    Jalil, Ukay Perdana, Putra Perdana, Kinrara Seksyen 3, Bukit Beruntung dan 
    Lagoon Perdana serta pembinaan prasarana.
 
 “Penyerahan kontrak bagi fasa kedua dijangka dimulakan selepas Tahun Baru 
    Cina dan dijangka mengambil masa antara enam hingga 18 bulan untuk disiapkan 
    kepada peringkat pemilikan, termasuk pembinaan prasarana,” katanya di Kuala 
    Lumpur, semalam.
 
 Chua berkata, bagi projek Taman Puncak Jalil, 547 unit rumah sudah disiapkan 
    yang mana 161 unit sudah memperoleh Sijil Layak Menduduki (CF).
 
 Jalan keluar dari taman berkenaan ke Sirim dan seterusnya memasuki Lebuh 
    Raya Bukit Jalil juga dibuka kepada orang ramai, katanya.
 
 Sementara itu, beliau berkata, Talam sudah menyerahkan pelan penstrukturan 
    semula hutang syarikat kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk kelulusan.
 
 Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
 
 Chua berkata, selepas penstrukturan berkenaan Talam Corp akan menumpukan 
    kepada pasaran hartanah mewah kerana wujud permintaan tinggi bagi sektor 
    berkenaan.
 
 “Talam Corp juga hanya bertindak sebagai pemaju rumah saja dan tidak 
    terbabit dalam bidang pembinaan. Kami akan terus bekerjasama dengan IJM 
    Construction yang akan bertindak sebagai pembina projek yang bakal dimajukan,” 
    katanya.
 
 Beliau berkata, Talam memiliki simpanan tanah seluas 3,200 hektar iaitu di 
    Puncak Jalil, Selayang dan Ulu Klang yang mana daripada jumlah itu, 800 
    hektar terletak di kawasan pembangunan utama.
 
 Talam, katanya sedang memajukan projek pembangunan bersepadu merangkumi 
    komersial, pejabat dan apartmen servis di China yang dijangka dapat 
    disiapkan pada awal tahun depan.
 |