| Sewa tanpa kebenaran14/01/2008 Harian Metro Oleh Sulaiman Salleh
 
 SEREMBAN: Seorang wanita membuat laporan polis sebaik mengetahui apartmen 
    yang dibeli dari sebuah syarikat pemaju di Port Dickson disewakan kepada 
    penyewa tanpa dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
 
 Ruzi Mohd Mizan, 39, berkata dia membeli sebuah apartmen itu kira-kira 12 
    tahun lalu dan sedia diduduki pada tahun 2000 lalu.
 
 Katanya, dia yang menetap di Taman Guru, Senawang bercadang menjadikan 
    apartmen yang mempunyai satu bilik itu sebagai rumah persinggahan apabila 
    dia bercuti di Port Dickson.
 
 “Pada jam 3.30 petang Khamis lalu saya ke apartmen itu untuk melihat 
    keadaannya dan terkejut apabila mendapati terdapat peralatan dapur serta 
    keperluan harian di dalamnya,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian 
    Metro, semalam.
 
 Menurut Ruzi, berdasarkan barang yang terdapat dalam apartmennya itu 
    dipercayai rumah itu disewakan tanpa kebenarannya sejak beberapa tahun lalu.
 
 “Saya segera bertanya pihak pengurusan pemaju terbabit dan mereka mengatakan 
    bahawa apartmen itu memang disewakan kepada seseorang,” katanya.
 
 Ruzi berkata, penjelasan wakil syarikat pemaju terbabit mengejutkannya 
    kerana dia tidak pernah membenarkan sesiapa pun menyewa apartmen itu.
 
 “Disebabkan tidak berpuashati dengan penjelasan daripada syarikat pemaju 
    terbabit saya membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Panjang, Port 
    Dickson supaya siasatan lanjut dapat dilakukan mengenai kejadian yang 
    berlaku itu,” katanya.
 
 Selain itu, Ruzi berkata, hutangnya dengan sebuah bank perdagangan juga 
    semakin meningkat kerana sebelum ini pemaju terbabit bersetuju membeli 
    semula apartmen itu dan menjelaskan bayaran yang perlu kepada bank.
 
 “Setahun selepas menerima kunci rumah iaitu pada tahun 2001 pemaju terbabit 
    bersetuju membeli semula apartmen itu dan menjelaskan baki hutang kepada 
    bank,” katanya.
 
 Bagaimanapun, menurut Ruzi, baru-baru ini dia terkejut menerima penyata 
    daripada bank yang mengatakan bahawa bayaran ansuran apartmen yang dibeli 
    itu tertunggak sebanyak RM70,000 dan selepas dicampur kadar faedah tunggakan 
    itu berjumlah kira-kira RM100,000.
 
 “Saya sedang membuat temujanji dengan sebuah syarikat guaman bagi mengambil 
    tindakan undang-undang terhadap syarikat pemaju terbabit,” katanya.
 
 Katanya, tindakan yang diambil itu adalah bagi melindungi dirinya daripada 
    sikap pemaju yang dianggap tidak bertanggungjawab itu.
 
 Harian Metro gagal mendapatkan penjelasan daripada syarikat pemaju terbabit 
    kerana cuti hujung minggu.
 |