| Pembeli rumah kecewa23/01/2008 Harian Metro Oleh Mary Victoria Dass
 
 JOHOR BAHRU: Penantian 1,000 pembeli kediaman di Taman Cahaya Kota Putri, 
    Masai, bagi berpindah ke kediaman yang dibeli enam tahun lalu jelas 
    menghampakan apabila projek perumahan masih terbengkalai dan tidak 
    menunjukkan sebarang perkembangan positif.
 
 Lebih mengecewakan apabila pembeli kediaman berkenaan buntu dengan nasib 
    dialami kerana bukan saja terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan, 
    mereka juga perlu membiayai kos sewa rumah berikutan tidak dapat berpindah 
    ke kediaman itu.
 
 Juruteknik, Chin Kin Seng, 43, berkata masalah yang dialami pembeli kediaman 
    berkenaan tiada kesudahan berikutan sikap berdolak-dalik pemaju mahupun 
    institusi kewangan terbabit untuk meneruskan projek itu.
 
 Beliau berkata, keluarganya terpaksa berputih mata apabila menjelaskan 
    deposit kediaman dan ansuran pinjaman bank sejak beberapa tahun lalu biarpun 
    projek itu masih belum diteruskan sehingga kini.
 
 Menurutnya, baru-baru ini, pembeli kediaman difahamkan pihak bank akan 
    melantik pemaju baru bagi mengambil alih projek perumahan itu.
 |