| Paip haram penghuni flet17/01/2008 Harian Metro Oleh Helmy Abd Rahman
 
 HULU KLANG: “Saya terpaksa bawa anak dan isteri tinggal di pejabat sejak dua 
    bulan lalu,” kata Zaki Ahmad, 42, penghuni Taman Al-Ridzuan yang mendakwa 
    menjadi mangsa pemaju taman itu yang culas membayar bil air hingga 
    menyebabkan bekalan air ke kawasan perumahan itu dipotong.
 
 Menurutnya, penduduk kawasan perumahan itu terpaksa menanggung beban hutang 
    tertunggak bil air menggunakan meter pukal mencecah RM48,000 kepada Syarikat 
    Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).
 
 “Dulu taman ini diselenggarakan pemaju yang ‘acuh tak acuh’ membayar bil air 
    penduduk hingga menyebabkan hutang tertunggak mencecah RM133,000. Keadaan 
    jadi bertambah rumit apabila pihak pengurusan terbabit diisytiharkan muflis 
    sejak lima tahun lalu sekali gus menyebabkan persatuan penduduk terpaksa 
    mengambil alih hal pengurusan taman.
 
 “Hutang tertunggak tinggal RM25,000, tapi meningkat hingga mencecah RM48,000 
    akibat sikap segelintir penduduk yang enggan membayar bil air mereka, selain 
    beberapa kos lain yang terpaksa ditanggung,” katanya ketika ditemui, semalam.
 
 Sebanyak 312 keluarga yang tinggal di empat blok rumah pangsa taman itu 
    terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk memperoleh bekalan air sejak 
    dipotong Syabas, kira-kira dua bulan lalu.
 
 Terdesak dengan keadaan itu, segelintir penduduk mengambil tindakan drastik 
    mencuri bekalan air dari tangki utama Syabas di kawasan terbabit dengan 
    membuat sambungan paip haram sementara sebahagian lagi terpaksa membelinya 
    dari premis dan individu tertentu yang mengambil kesempatan dengan situasi 
    itu.
 
 Aktiviti itu bagaimanapun dapat dikesan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air 
    Negara (Span) dan Syabas yang menjalankan operasi bersepadu dipanggil Ops 
    Cegah, semalam bagi menyekat kegiatan itu daripada berterusan.
 
 Ketua Bahagian Hal Ehwal Pengguna dan Penguatkuasaan Span, Mohd Ashwar Abdul 
    Aziz, berkata objektif operasi itu untuk memotong dan menghentikan sambungan 
    haram dan aktiviti penjualan air secara haram membabitkan premis serta 
    individu tertentu.
 
 “Operasi ini disertai enam pegawai Span dan kira-kira 30 anggota Syabas 
    termasuk polis bantuan dan julung kali diadakan, tahun ini.
 
 “Penduduk sudah diberi notis amaran dan kami terpaksa melaksanakan tindakan 
    penguatkuasaan hari ini (semalam),” katanya.
 
 Ashwar sebelum itu sempat mengadakan dialog dengan wakil penduduk bagi 
    mencari jalan penyelesaian terbaik dalam masa terdekat.
 
 “Kami prihatin dengan masalah penduduk dan faham situasi mereka. Melalui 
    hasil perbincangan tadi (semalam), penduduk terbabit akur dan sedar dengan 
    perbuatan segelintir daripada mereka menyalahi Akta Industri Perkhidmatan 
    Air 2006,” katanya.
 |