| Kediaman tidak sempurna14/01/2008 Berita Harian Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
 
 Penghuni Kondominium Ampang Prima kecewa pemaju tak patuh syarat jual beli 
    sebabkan mereka terdedah jenayah
 
 AMPANG: Kondominium Ampang Prima di Bandar Baru di sini sepatutnya menjadi 
    kediaman eksklusif bagi kira-kira 2,000 penghuninya tetapi harapan mereka 
    dihampakan pemaju yang dikatakan gagal mematuhi syarat perjanjian jual beli.
 
 Sepanjang enam bulan pertama tahun lalu, 29 kes pecah masuk rumah dilaporkan 
    atau purata sebuah rumah dipecah masuk seminggu, tidak termasuk jenayah lain 
    seperti cabul dan pecah kenderaan.
 
 Semua masalah itu didakwa berpunca daripada tindakan pemaju yang gagal 
    menyediakan kawalan keselamatan ketat termasuk menyediakan kamera litar 
    tertutup (CCTV) mencukupi terutama di tempat sunyi dan strategik.
 
 Lebih mengecewakan, penghuni membayar lebih RM160 sebulan untuk caj 
    penyelenggaraan tetapi mereka masih terdedah kepada ancaman bahaya.
 
 Setakat ini, pemaju hanya memasang 67 unit CCTV di empat blok perumahan yang 
    menempatkan 699 unit kondominium sederhana itu tetapi penduduk menyifatkan 
    ia belum mencukupi dan mahu ditambah 34 lagi CCTV.
 
 Penghuni yang terdiri daripada golongan profesional dan sederhana itu mahu 
    ia dipasang di lobi lif setiap blok, tambahan lapan unit di empat tingkat 
    tempat meletak kenderaan, sembilan dalam lif, tangga di tingkat lima setiap 
    empat blok selain Rumah Kelab yang menempatkan gimnasium, bilik mesyuarat 
    dan kolam renang.
 
 Pengerusi Persatuan Penduduk perumahan itu, Mejar Khairul Anuar Othman, 
    mendakwa pihaknya ada bukti kukuh menunjukkan pemaju melanggar syarat 
    perjanjian jual beli.
 
 Beliau berkata, pihaknya juga ada bukti kegagalan syarikat pengurusan harta 
    dan keselamatan yang dilantik pemaju mengendalikan harta bersama dengan 
    sempurna.
 
 "Pemaju berjanji melebarkan laluan masuk utama pada September tahun lalu 
    tetapi sehingga kini tidak ditunaikan. Pemaju juga melengahkan permohonan 
    mendapatkan hak milik strata," katanya ketika mengadakan mesyuarat dengan 
    penduduk, baru-baru ini.
 
 Khairul Anuar berkata, pemaju juga gagal memasang interkom untuk setiap unit 
    kediaman sedangkan kemudahan itu terkandung dalam perjanjian syarat jual 
    beli (S&P).
 
 Katanya, walaupun interkom tidak dipasang, pemaju menerusi syarikat 
    pengurusan harta tetap mengenakan bayaran setiap bulan sebagai caj 
    penyelenggaraan.
 
 "Interkom antara sistem keselamatan yang berkesan bagi memastikan orang 
    tidak dikenali memasuki atau menceroboh kawasan kediaman," katanya.
 
 Beliau mendakwa, pemaju seolah-olah sengaja melengahkan pemasangan interkom 
    untuk menunggu tarikh tamat liabiliti yang disyaratkan 18 bulan selepas unit 
    kediaman diserahkan kepada pemilik yang akan tamat pada 14 Jun ini.
 
 Katanya, pemaju juga tidak memasang jubin di setiap lobi dan koridor kecuali 
    tingkat lima yang menempatkan pejabat pengurusan dan 17 (penthouse) selain 
    gagal menunjukkan pelan pembinaan yang diluluskan pihak berkuasa.
 
 "Kami meragui sama ada pembinaan kondominium ini mengikut spesifikasi dan 
    pelan yang diluluskan termasuk bahan yang digunakan dan keluasan serta 
    bentuk asal yang dicadangkan," katanya.
 
 Khairul Anuar berkata, hasil siasatan persatuan penduduk menemui longgokan 
    jubin dalam stor yang dipercayai untuk dipasang di lobi tetapi dibiarkan 
    begitu saja.
 
 Katanya, syarikat pengurusan dan penyelenggaraan yang dilantik pemaju tidak 
    layak menguruskan perumahan itu kerana tidak mendaftar dengan Lembaga 
    Penilai, Pentafsir dan Ejen Harta Tanah Malaysia.
 
 Beliau berkata, lembaga itu menghantar notis kepada syarikat berkenaan pada 
    13 Oktober lalu supaya berhenti menyelenggara kondominium itu tetapi 
    sehingga kini ia masih beroperasi.
 
 Keingkaran itu menyebabkan timbul pertelingkahan antara syarikat pengurusan 
    dan syarikat kawalan keselamatan berkaitan kelewatan pembayaran gaji kepada 
    pengawal keselamatan sekali gus menjejaskan mutu perkhidmatan.
 
 Katanya, memorandum mengenai masalah itu diserahkan kepada Yang Dipertua 
    Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selaku Pesuruhjaya Bangunan, Datuk 
    Mohammad Yacob yang berjanji akan menyiasat semua aduan.
 
 Memorandum itu turut diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad 
    Khir Toyo; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; 
    Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) 
    Lembah Jaya, Datuk Ismail Kijo.
 
 Sementara itu, pemaju berkenaan ketika diminta mengulas dakwaan penduduk 
    gagal memberi jawapan apabila soalan yang diminta menerusi e-mel sehingga 
    kini tidak berbalas.
 
 Sikap pemaju bermain tarik tali dan menidakkan hak penduduk boleh 
    menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan negeri, termasuk 
    disenarai hitam daripada terbabit dalam projek perumahan di Selangor.
 
 FAKTA NOMBOR: Kondominium Ampang Prima
 
 
 699 - Unit
 2,000 - Penghuni
 67 - CCTV sudah dipasang
 34 - CCTV perlu ditambah.
 |