| Jumlah kes jual beli rumah 
    menurun 16/01/2008 Utusan Malaysia  PETALING JAYA 15 Jan. – Jumlah kes berkaitan jual beli rumah yang dirujuk 
    kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) mencatatkan penurunan dalam 
    tempoh tiga tahun lalu.
 
 Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, 
    pada 2004, jumlah kes yang didaftarkan sebanyak 6,524 namun ia berkurangan 
    kepada 5,624 kes pada 2005, 3,821 kes (2006) dan 3,000 kes tahun lalu.
 
 Beliau berkata, selain jumlah kes yang didaftarkan, bilangan kes yang 
    berjaya diselesaikan menerusi TTPR juga cukup membanggakan.
 
 Katanya, daripada 6,524 kes berdaftar pada 2004, sebanyak 6,506 kes berjaya 
    diselesaikan diikuti 5,541 kes berjaya diselesaikan pada 2005, 3,667 kes 
    (2006) dan 2,363 kes berjaya diselesaikan tahun lalu.
 
 “Kita berada di landasan yang betul. Tribunal Perumahan akan bertindak 
    sebagai penghalang kepada sesetengah pemaju yang tidak jujur dan cuba 
    menakut-nakutkan pembeli,” katanya.
 
 Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat 
    Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) Akta dan Peraturan 
    2007 di sini hari ini.
 
 TTPR diwujudkan bagi mengadili tuntutan pembeli terhadap pemaju perumahan 
    dengan lebih mudah selepas pindaan dibuat ke atas Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan 
    dan Perlesenan) 1966 pada 2002.
 
 Ka Ting menjelaskan, berdasarkan rekod, kebanyakan kes yang dirujuk di 
    tribunal melibatkan kelewatan menyiapkan rumah di samping laporan kecacatan 
    rumah yang dibina.
 
 “Namun, penurunan jumlah kes yang didaftarkan memperlihatkan tahap kesedaran 
    di kalangan pemaju perumahan terhadap kepentingan mengawal selia projek 
    masing-masing,” katanya.
 
 Beliau menambah, pihak kementerian akan menyenaraihitamkan pemaju yang 
    mengulangi kesalahan selepas dikenakan hukuman di TTPR.
 
 Ditanya mengenai Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang 
    dipinda dua kali iaitu pada 2002 dan tahun lepas, beliau menegaskan, ia 
    terpaksa dilakukan demi kepentingan industri perumahan.
 |