| Hak pembeli rumah terbela16/01/2008 Harian Metro Oleh Mohamad Hussin
 
 SUBANG JAYA: Selepas tempoh liabiliti kecacatan mutu rumah ditingkatkan 
    kepada 24 bulan tahun lalu, kepentingan pembeli rumah semakin terbela dalam 
    mengurangkan kes masalah perumahan.
 
 Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, 
    Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang sudah dipinda dua 
    kali pada 2002 dan 2006 memberi peluang kepada pembeli mengawasi kerosakan 
    dan meminta pemaju membaikinya dalam tempoh terbabit.
 
 “Sebelum ini, tempoh liabiliti kecacatan adalah 12 bulan (pada 2002) dan 
    dipinda kepada 24 bulan bagi memastikan pemaju membina rumah berkualiti dan 
    hak pembeli rumah terjamin.
 
 “Antara perubahan penting akta itu ialah penubuhan sebuah Tribunal Tuntutan 
    Pembeli Rumah (TTPR) yang boleh mendengar tuntutan tidak melebihi RM50,000.
 
 “Dalam tempoh tiga tahun selepas Tribunal Perumahan ditubuhkan pada 2002, 
    bilangan kes yang didaftarkan meningkat ketara membabitkan isu berkaitan 
    serahan lewat dan pembinaan rumah tidak memenuhi spesifikasi perjanjian jual 
    beli,” katanya.
 
 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembentangan 
    Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2007 di sini, 
    semalam.
 
 Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), 
    Datuk Eddy Chen dan Presidennya, Ng Seing Liong.
 
 Ong berkata, pada 2004 sejumlah 6,524 kes didaftarkan dan 6,506 diselesaikan; 
    2005, 5,624 kes didaftar, 5,541 selesai; 2006, 3,821 kes, 3,667 selesai dan 
    2007, 3,000 kes dan 2,363 diselesaikan.
 
 “Kebanyakan daripada kes yang dirujuk kepada TTPR membabitkan kelewatan 
    rumah siap dan kecacatan rumah yang dibina.
 
 “Pemaju yang ingkar selepas disabitkan kesalahan dalam TTPR akan 
    disenaraihitamkan serta-merta di laman web kementerian dan tidak akan 
    diberikan permit serta lesen pemaju, sehingga kesnya selesai,” katanya.
 
 Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak meluluskan 
    permohonan untuk membangunkan projek perumahan di kawasan risiko banjir, 
    selain memperketatkan kelulusan pembinaan perumahan di lereng bukit.
 
 Sementara itu, Ong berkata, tender untuk mendapatkan pembekal bagi memasang 
    kamera litar tertutup CCTV bagi 25 majlis bandaraya dan majlis perbandaran 
    yang dikenal pasti akan dibuka akhir bulan ini.
 
 “Kita mempunyai 38 PBT di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 13 PBT 
    sudah berusaha memasangnya bagi memantau kegiatan jenayah di kawasan 
    pentadbiran masing-masing.
 
 “Dengan ini akan wujud kerjasama lebih baik antara polis dan PBT bagi 
    mengesan kawasan panas yang perlukan pemantauan tambahan menerusi CCTV 
    sekali gus usaha membendung jenayah akan dapat dipertingkatkan lagi,” 
    katanya.
 
 Pada 13 Januari lalu, akhbar melaporkan bahawa kerajaan meluluskan 
    peruntukan khas RM75 juta untuk memasang CCTV di beberapa kawasan strategik 
    seluruh negara bagi mengatasi kejadian jenayah yang semakin membimbangkan 
    sejak-sejak akhir ini.
 
 Peruntukan kerajaan Persekutuan itu diluluskan pada 2 Januari lalu bagi 
    membolehkan CCTV dipasang 25 PBT di kawasan paling terdedah dengan kegiatan 
    jenayah.
 
 Peruntukan itu juga bagi membantu PBT yang sebahagian besarnya menghadapi 
    masalah kewangan untuk memasang CCTV.
 |