| Dilema pembeli pangsapuri25/01/2008 Berita Harian Oleh Nor Azma Laila
 
 Projek rumah kos sederhana, rendah terbengkalai sebabkan mereka tanggung 
    beban hutang dengan bank
 
 PETALING JAYA: Selepas kira-kira empat tahun menunggu, hasrat 759 pembeli 
    rumah di Subang 2, Bandar Pinggiran Subang untuk menetap di kediaman sendiri 
    dan menghabiskan hari tua bersama anak cucu masih tidak kesampaian kerana 
    hartanah berkenaan sehingga kini gagal disiapkan.
 
 Keadaan itu menyebabkan mereka dibebani hutang dengan pihak bank yang 
    menyalurkan pinjaman untuk pembelian rumah itu, malah tambah membebankan 
    apabila ada di antara mereka pada masa yang sama membayar sewa rumah yang 
    didiami sekarang.
 
 Pengerusi Badan Bertindak Pembeli Rumah Subang 2, Bandar Pinggiran Subang, 
    Rosnah Ibrahim, berkata, projek perumahan Damai-Pangsapuri Kos Sederhana dan 
    Suria-Pangsapuri Kos Rendah itu masing-masing berharga RM95,000 dan 
    RM42,000.
 
 “Seramai 601 pembeli sudah menandatangani perjanjian untuk pembelian rumah 
    pangsapuri kos sederhana iaitu Damai yang mempunyai 760 unit manakala, Suria 
    pula sudah dibeli oleh 158 pembeli yang mana ada di antara mereka adalah 
    penduduk penempatan semula setinggan.
 
 “Kedua-dua projek itu sepatutnya disiapkan pada 2003 tetapi pemaju gagal 
    berbuat demikian dengan alasan kontraktor yang dilantik mengalami masalah 
    kewangan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini .
 
 Rosnah berkata, pembeli sangat kesal, marah dan kecewa dengan tindakan 
    pemaju yang seolah-olah menipu mereka kerana tiada sebarang pemberitahuan 
    dibuat mengenai kegagalan mereka menyiapkan projek berkenaan.
 
 “Setakat ini, hanya 65 peratus kerja pembinaan berjaya disiapkan dan masih 
    berbaki 35 peratus untuk diteruskan oleh kontraktor baru. Berikutan sudah 
    beberapa tahun terbengkalai, ada rumah yang sudah mula rosak seperti retak 
    dan pendawaian sudah rosak.
 
 Saya harap pemaju dan kontraktor akan memandang serius kerosakan itu serta 
    memperbaikinya supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini apabila kami 
    mula menduduki rumah itu kelak,” katanya.
 
 Beliau berkata, pembeli sudah mengadakan pertemuan pada Ogos lalu bersama 
    pemaju dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan 
    Setinggan Selangor, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahlan serta wakil dari Pejabat 
    Tanah Daerah Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk berbincang 
    dan mencari penyelesaian mengenai masalah ini.
 
 “Pada pertemuan itu, Datuk Mokhtar ada memaklumkan bahawa projek itu akan 
    disiapkan dalam tempoh lapan bulan iaitu pada Mac ini, namun daripada 
    pengamatan kami di tapak projek, tiada sebarang kerja dilakukan untuk 
    meneruskan pembinaan rumah berkenaan sehingga ke hari ini.
 
 Sementara itu, Pengurus Kanan Jualan, Juta Permai (M) Sdn Bhd, Tong Soong 
    Chong yang mewakili pemaju pada perjumpaan bersama pembeli, berkata pihaknya 
    sudah melantik kontraktor baru bagi meneruskan projek berkenaan.
 
 “Kontraktor baru akan memberikan jadual mengenai pergerakan kerja pembinaan 
    kepada pembeli supaya mereka tahu mengenai kerja yang dijalankan mengikut 
    tarikh dan tempoh yang ditetapkan atau tidak.
 
 “Jadual itu akan diberikan pembeli pada pertengahan Februari, selepas 
    selesainya perayaan Tahun Baru Cina dan kerja pembinaan juga akan dimulakan 
    sebaik saja jadual itu diedarkan kepada pembeli.
 
 “Kerja menyiapkan kembali rumah ini mengambil masa selama 10 hingga 12 bulan 
    untuk siap berikutan kontraktor perlu memperbaiki terlebih dulu rumah yang 
    sudah mengalami kerosakan akibat sudah lama terbengkalai,” katanya.
 
 Pembeli rumah pangsapuri kos rendah, Salmiah Ibrahim, 36, yang juga antara 
    penduduk yang dipindahkan untuk penempatan semula setinggan dari Kampung 
    Melayu Subang melahirkan rasa kecewa kerana rumahnya gagal disiapkan pada 
    tempoh yang ditetapkan.
 
 “Bukan saja rumah gagal disiapkan, pemaju sudah membatalkan pembinaan tiga 
    lagi blok rumah yang sebelum ini berdasarkan perjanjian, terdapat lima blok 
    kesemuanya tetapi hingga ke hari ini, mereka cuma berjanji akan membina dua 
    blok saja.
 
 “Saya agak terkilan dengan sikap pemaju kerana mereka tidak telus dalam 
    menguruskan masalah pembeli rumah ini. Memang saya kecewa dengan masalah 
    yang timbul ini kerana pada masa ini saya sepatutnya sudah boleh menetap di 
    rumah sendiri tetapi hingga ke hari ini, terpaksa menyewa di Kota Damansara 
    kerana rumah gagal disiapkan,” katanya.
 |