12/01/2008 Utusan Malaysia Oleh
Norazlita Mohd. Sies
SHAH ALAM 11 Jan. – Seramai 92 pembeli hartanah di Seksyen U12, Desa Alam (dahulunya
Shah Alam Utama) di sini hari ini memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi
berjumlah RM4.1 juta daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
setelah dikatakan terlewat setahun 11 bulan untuk menyerahkan rumah yang
dibeli.
Saman tersebut difailkan oleh peguam Nik Mohd. Anuar Badiruddeen yang
mewakili mereka di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Sivil di sini pada
pukul 10 pagi ini.
Proses memfailkan writ saman tersebut memakan masa lebih sejam memandangkan
terdapat banyak dokumen yang perlu ditandatangani oleh plaintif. Lebih
kurang 70 peratus daripada plaintif, bertugas sebagai pensyarah Universiti
Teknologi Mara (UiTM).
Menurut pernyataan tuntutan, kesemua plaintif membeli rumah teres dua
tingkat jenis RT2 yang setiap sebuah bernilai RM231,620.
Plaintif menyatakan, defendan sebagai pemaju dan penjual hendaklah
menyerahkan milikan kosong hartanah tersebut dengan dilengkapi bekalan air
dan elektrik sebelum 12 Disember 2005 (tarikh luput penyerahan milikan
kosong).
Berdasarkan peruntukan di bawah Fasal 23(2) Perjanjian Jual Beli menyatakan
sekiranya penjual gagal berbuat demikian dalam tempoh 24 bulan dari tarikh
perjanjian (jual beli) maka penjual bertanggungjawab membayar kepada pembeli
10 peratus daripada Harga Belian Hartanah dari tarikh luput penyerahan
milikan kosong hartanah tersebut.
Defendan hanya menyerahkan milikan kosong berserta bekalan air dan elektrik
pada 20 November 2007.
Oleh itu, plaintif berpendapat defendan hendaklah membayar ganti rugi Lewat
Serah Milikan Kosong Hartanah (berserta bekalan air dan elektrik) sebanyak
RM44,929.68 bagi setiap seorang plaintif.
Plaintif juga menuntut faedah ganti rugi lewat serah milikan kosong pada
kadar lapan peratus setahun dari tarikh 20 November 2007 sehingga tarikh
penyelesaian penuh berserta lain-lain relif.