10 tahun tunggu rumah
24/09/2007 Berita Harian Oleh
Mohd Roji Abdullah
Pembeli kediaman di Taman Mengkibol Kluang minta kerajaan campur tangan
supaya projek terbengkalai diteruskan
KLUANG: Selepas hampir 10 tahun menanti, 351 pembeli rumah di Taman
Mengkibol, di sini terus menaruh harapan untuk menduduki rumah idaman mereka
satu hari nanti walaupun hingga kini tiada tanda pemaju akan meneruskan
projek yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.
Sejak menandatangani perjanjian jual beli pada 1998, ramai pembeli yang
kebanyakan kakitangan kerajaan termasuk anggota tentera berharap menduduki
rumah yang dibina di satu kawasan yang cukup indah itu dalam tempoh
sekurang-kurangnya dua tahun.
Bagaimanapun, kini harapan mereka musnah menyebabkan ramai yang sudah
membawa diri ke tempat lain. Malah ada yang berhijrah ke negeri lain
terutama anggota tentera yang kecewa apabila gagal menduduki rumah sendiri
selepas bersara.
Dalam sembilan tahun menanti rumah itu siap, ada di kalangan 351 pembeli itu
yang dikatakan sudah meninggal dunia.
"Menyedihkan, tak tahu bila rumah ini akan menjadi milik kami. Cuma kami
harapkan kini ialah campur tangan kerajaan negeri untuk membantu membela
nasib kami yang dianiayai," perkataan itu diucapkan berulang kali oleh
beberapa pembeli ketika membawa Berita Harian meninjau keadaan rumah
terbengkalai itu, baru-baru ini.
Pembeli sedih dan kecewa kerana kehidupan mereka semakin dihimpit beban
pembayaran ansuran sejak hampir 10 tahun lalu dan pada masa sama, terpaksa
membayar sewa rumah yang mereka duduki ketika ini.
Bagi mencari penyelesaian, 215 pembeli sepakat menubuhkan Jawatankuasa
Bertindak Pembeli Rumah Taman Mengkibol pada 2002. Mereka juga tidak jemu
mengunjungi pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di ibu
negara bagi mencari penyelesaian kepada masalah itu.
Pengerusi jawatankuasa itu, Ali Syed Mohamad, 38, yang bertugas sebagai guru
di sebuah sekolah menengah di sini, berkata mereka sanggup mengambil cuti
dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menemui pegawai berkaitan di
kementerian.
"Sejak 2004, tidak kurang tujuh kali kami ke ibu negara berjumpa pegawai
kementerian untuk mencari penyelesaian masalah ini.
"Kali terakhir, kami ke sana (ibu negara), minggu lalu tetapi tak tahulah
sama ada nasib kami akan terbela dalam tempoh terdekat," katanya.
Ali, bapa kepada tiga anak, berkata, beliau terpaksa membayar ansuran rumah
menerusi potongan gaji sebanyak RM700 sebulan sejak tujuh tahun lalu selain
membayar sewa rumah di Taman Permata sebanyak RM350 sebulan.
"Setiap bulan kami membayar ansuran untuk rumah yang entah bila akan kami
miliki. Kami akan terus berjuang mendapatkan hak kami itu dan dengan bantuan
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Gan Ping Siew, kami berharap
masalah kami mendapat perhatian," katanya.
Pembeli, Tow Man Chong, 36, berkata beliau yang sudah berkeluarga terpaksa
menumpang di rumah bapanya di Taman Kluang Barat kerana harapannya untuk
menduduki rumah sendiri seakan tidak tercapai.
Tow, yang juga Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Taman
Mengkibol itu, berkata beliau tidak mampu membeli rumah lain.
"Saya sudah membayar lebih RM40,000 untuk rumah berharga RM88,000 yang tidak
siap itu. Siapa yang tidak kecewa kerana kita terpaksa membayar benda yang
belum tentu kita dapat," katanya bekerja dengan sebuah syarikat swasta di
Bandar Tenggara.
Sebanyak 440 unit rumah dibina pemaju projek perumahan Taman Mengkibol yang
bermula pada 1998 itu.
Projek perumahan itu dikatakan menghadapi pelbagai masalah selepas 350 unit
rumah yang dibina itu berjaya dijual dan kerja pembinaan dihentikan dua
tahun lalu. Kini hanya beberapa pengawal keselamatan ditugaskan di kawasan
perumahan itu untuk menjaga pelbagai peralatan.
Sementara itu, Gan berkata, beliau sendiri sudah beberapa kali menemui
pegawai kementerian terbabit untuk mencari penyelesaian masalah itu.
Katanya, beliau sekali lagi menemui pegawai kementerian di ibu negara 14
September lalu dan pegawai bahagian penguat kuasa berjanji merujuk kes itu
ke bahagian penasihat undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pemaju
mengikut Seksyen 7 Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.
"Saya tak mahu pembeli terus menderita kerana kegagalan pemaju
menyempurnakan projek perumahan itu dalam tempoh ditetapkan. Saya juga akan
berbincang dengan pihak pembiaya projek (Malaysia Building Society Sdn Bhd)
untuk mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan.
"Jika boleh projek ini boleh diambil alih Suruhanjaya Perumahan Negara (SPN),"
katanya yang sudah beberapa kali membentangkan masalah itu pada persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
FAKTA NOMBOR:
Projek perumahan Taman Mengkibol
RM700 - Ansuran bulanan
440 - Rumah dibina
351 - Pembeli. |