13 projek rumah dikategori
terbengkalai
14/08/2007 Berita Harian
SEBANYAK 13 projek perumahan awam dan swasta membabitkan 2,810 pembeli di
seluruh Pahang masih dikategorikan sebagai terbengkalai, kata Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan, Datuk Mohd Soffi Abdul Razak.
"Bilangan projek terbengkalai itu tidak termasuk tiga projek perumahan yang
dikategorikan sebagai sakit membabitkan 618 unit rumah di perumahan Rompin
Permai, Perumahan Pasdec Damansara dan Taman Alam Perdana," katanya menjawab
soalan Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura).
Katanya, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad sedang berusaha
memulihkan projek terbengkalai itu.
Setakat ini, katanya lapan projek membabitkan 1,749 unit rumah di Kuantan,
Beserah, Temerloh, Maran, Bandar Pusat Jengka dan Bera sudah diselamatkan.
Menjawab soalan tambahan Shafik Fauzan, Mohd Soffi berkata, Projek
Penempatan Semula Nelayan di Bunut Rendang bertujuan menempatkan keluarga
nelayan dari Tanjung Lumpur, Tanjung Api, Kampung Selamat dan Peramu.
Projek itu, katanya diluluskan pada 1997 dan melalui beberapa peringkat
pelaksanaan.
"Bagaimanapun, projek itu ditakrifkan sebagai lewat atau terbengkalai dan
pada 1998, kerajaan menamatkan kontrak kontraktor terbabit dan memberi
kepada pemaju lain.
"Sehingga kini, kerja merata pasir sudah disempurnakan bagi fasa pertama
daripada tiga fasa yang dicadangkan.
"Kerja pembinaan membabitkan 154 unit pada fasa pertama dijangka siap pada
akhir tahun ini dan ia ditawarkan kepada mereka yang layak," katanya yang
memberi jaminan kerajaan akan meneruskan projek perumahan nelayan di Bunut
Rendang.
Malah, katanya semua agensi dan jabatan yang terbabit meluluskan pelan
pembangunan sudah memberi maklum balas dan projek itu dijangka diteruskan
seperti dirancang.
"Dokumen tender infrastruktur sedang disediakan dan tender akan dipanggil
bagi membina jalan dan sistem saliran.
"Pelan bangunan untuk fasa dua dan tiga yang berjumlah 346 unit termasuk
komponen lain seperti surau dan dewan orang ramai sudah dikemukakan kepada
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk kelulusan," katanya. |