This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bina dan jual dilancar -- Konsep alternatif atasi projek perumahan terbengkalai – PM
14/04/2007 Utusan Malaysia Oleh: Saifulizam Mohamad dan Yukipsman Asli

PETALING JAYA 13 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan konsep bina dan jual dalam usaha mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai yang selama ini menimbulkan kesusahan kepada sebilangan rakyat negara ini.

Perdana Menteri berkata, konsep tersebut yang merupakan alternatif kepada konsep jual dan bina yang diamalkan sekarang lebih melindungi pembeli rumah.

Menurutnya, walaupun peratusan projek terbengkalai kecil iaitu sekitar 4.5 peratus dan melibatkan hanya 100,000 buah rumah, kerajaan tetap mengambil berat isu tersebut kerana pembeli terpaksa membayar sewa rumah dan bayaran kemajuan rumah baru.

‘‘Saya percaya rakyat perlu diberi alternatif selain konsep jual dan bina seperti yang diamalkan sekarang,’’ katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Konsep pembinaan rumah yang diperkenalkan oleh kerajaan itu merupakan salah satu daripada empat inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini bagi mengurangkan kerenah birokrasi, memendekkan tempoh proses aliran kerja dan menjaga kepentingan awam khususnya pembeli hartanah.

Bagi menggalakkan pemaju menggunakan konsep itu, Abdullah berkata, kerajaan bersetuju memberi tiga insentif iaitu pertama, pelepasan deposit RM200,000 bagi permohonan lesen pemajuan perumahan.

‘‘Kedua, tempoh memproses cadangan pemajuan perumahan seperti tukar syarat tanah, pecah sempadan, kelulusan pelan atur dan pelan bangunan diberi kelulusan dalam tempoh empat bulan sahaja.

‘‘Insentif ketiga pula ialah pemaju boleh menggantikan syarat membina rumah kos rendah kepada membina rumah kos sederhana rendah,’’ katanya.

Selain konsep jual dan bina, Perdana Menteri turut mengumumkan inisiatif mewujudkan pusat sehenti bertujuan memendekkan tempoh proses permohonan satu-satu projek.

Dua inisiatif lagi ialah menggantikan sijil layak menduduki (CFO) dengan perakuan siap dan pematuhan (CCC) serta mewujudkan pesuruhjaya bangunan bagi mengatasi masalah penyelenggaraan rumah milik strata.

Menurut Abdullah, dengan adanya pusat sehenti, proses yang dahulunya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun akan disingkatkan kepada empat hingga enam bulan sahaja.

‘‘Tempoh empat bulan adalah untuk projek terpilih sahaja iaitu projek bina dan jual, projek berimpak tinggi, projek pelaburan asing dan projek kerajaan, sementara untuk projek lain prosesnya mengambil masa enam bulan,’’ ujarnya.

Mengenai pengeluaran CCC, ia akan diuruskan sepenuhnya oleh ahli-ahli profesional daripada sektor swasta dan bukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan diguna pakai untuk semua permohonan baru bermula sekarang

‘‘Namun begitu pihak PBT akan tetap menjalankan tinjauan berkala semasa pembinaan untuk memastikan kerja-kerja dibuat mengikut pelan dan peraturan,’’ tambahnya.

Dengan kewujudan pesuruhjaya bangunan itu pula, beliau amat berharap semua masalah pengurusan serta penyelenggaraan unit strata dapat dikurangkan, sekali gus memanfaatkan pemilik unit kos rendah dan sederhana.

Sementara itu, ketika menjelaskan konsep pelaksanaan bina dan jual, Ka Ting berkata, dua konsep akan diperkenalkan iaitu pembeli tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan atau bayaran berperingkat, dikenali dengan varian 0:100.

Selain itu katanya, pemaju boleh menjual unit rumah yang belum siap dan pembeli hanya dikehendaki membayar 10 peratus daripada harga jualan ketika menandatangani perjanjian jual beli.

‘‘Baki 90 peratus akan diselesaikan apabila rumah tersebut siap sepenuhnya dengan adanya CFO atau CCC. Ini pula dikenali dengan varian 10:90,’’ ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan amat menggalakkan pemaju menggunakan konsep varian 10:90 kerana ia mempunyai beberapa kelebihan berbanding sistem sekarang (konsep jual kemudian bina).

Pertama, katanya, pembeli berhak memeriksa rumah yang telah disiapkan sebelum menjelaskan baki keseluruhan dan untuk mengelakkan timbul sebarang isu, pemaju perlu menyelesaikan masalah sebelum menyerahkan kunci.

‘‘Kedua, risiko yang akan ditanggung oleh pembeli jika projek terbengkalai hanya 10 peratus daripada harga belian dan ketiga, bebanan kewangan yang ditanggung oleh pembeli lebih ringan.

‘‘Melalui konsep ini pembeli tidak lagi terpaksa membayar faedah ke atas pinjaman semasa rumah belum siap. Bayaran ansuran pinjaman hanya akan bermula apabila mereka menduduki rumah berkenaan,’’ katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.