50 pemilik didakwa
10/02/2007 Harian Metro Oleh Mary Victoria Dass
JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mendakwa 50 pemilik
rumah kerana membenarkan kediaman masing-masing digunakan sebagai asrama
pekerja asing di Kampung Ungku Mohsin, Tampoi di sini.
Ahli Majlis MBJB Zon Larkin, Adam Sumiru, berkata tindakan itu kerana sikap
tidak bertanggungjawab pemilik rumah termasuk bersetuju kediaman mereka
dijadikan sebagai asrama pekerja.
Beliau berkata, perbuatan itu seolah-olah mengetepikan nilai murni tempatan
apabila membenarkan kediaman disalah guna sebagai asrama tanpa
menitikberatkan keselesaan penduduk lain di kawasan perumahan terbabit.
Menurutnya, lebih mengecewakan, kebanyakan rumah yang digunakan sebagai
asrama pekerja juga menempatkan pekerja asing lelaki dan wanita dalam
kediaman sama di perkampungan itu.
Katanya, setiap rumah kampung yang disewa majikan pekerja asing diduduki
kira-kira 50 sehingga 60 orang pekerja, manakala rumah diduduki pekerja
wanita Vietnam turut didiami lelaki Vietnam.
“Apabila pemilik rumah membenarkan majikan menempatkan kumpulan pekerja
asing itu, pelbagai masalah mula timbul sama ada membabitkan gejala sosial
mahupun mengancam keselamatan penduduk kerana pernah berlaku beberapa
pergaduhan.
“Malah, sesetengah pekerja warga Vietnam, Indonesia dan Nepal di sekitar
perkampungan itu juga sering berpesta arak,” katanya ketika dihubungi Harian
Metro, semalam.
Sementara itu, Adam berkata, tindakan mahkamah itu sebagai peringatan kepada
pemilik kediaman lain supaya tidak sewenang-wenangnya menyewakan kediaman
tanpa menyiasat tujuan penyewa pada masa depan.
Beliau berkata, rumah tidak sepatutnya beroperasi sebagai asrama pekerja
kerana ia bukan saja menyalahi undang-undang, malah boleh menimbulkan
masalah kepada penduduk di sekitar lokasi itu.
“Kami mengadakan perbincangan dengan polis berhubung masalah penduduk itu
kerana tidak mahu sebarang masalah berlaku memandangkan kumpulan warga asing
berkenaan masih menghuni di situ,” katanya.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, perkampungan itu kini lebih sesuai
bergelar ‘Kampung Antarabangsa’ kerana dicemari lebih 50 asrama haram yang
menempatkan ribuan pendatang asing sejak kebelakangan ini.
Adam dipetik sebagai berkata, kewujudan asrama haram itu yang dihuni
kira-kira 3,000 warga asing semakin membimbangkan kerana mereka didakwa
menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk tempatan. |