Rumah impian terbengkalai
18/12/2007 Berita Harian Oleh Ahmad Syahrul Derauh
BELUM SIAP: Deretan rumah terbengkalai di kawasan perumahan Perpaduan
Height, Senaling, Kuala Pilah mendapat rungutan pembeli.
Projek perumahan di atas bukit usaha sama MDKP dengan sebuah syarikat pemaju
gagal disiapkan sejak dimulakan pada 1999
KUALA PILAH: Lokasinya di atas bukit yang dikelilingi alam semula jadi
menyamankan menyebabkan kawasan perumahan Perpaduan Height di Senaling,
dekat sini menjadi rebutan ramai pembeli kerana potensinya untuk muncul
sebagai taman perumahan tercantik di bandar ini.
Tidak hairanlah, kebanyakan daripada 165 unit rumah kos sederhana setingkat,
55 rumah kos rendah dua tingkat dan tujuh rumah kedai yang dirancang
dibangunkan mudah memikat pembeli sejak pembinaan projek itu dimulakan pada
1999.
Ramai yang tidak sabar untuk berpindah ke rumah baru yang sepatutnya siap
pada 2001 itu, tetapi dari setahun ke setahun dan ribuan ringgit dikeluarkan
untuk membayar ansuran bank, penantian mereka berakhir dengan kekecewaan.
Selepas hampir lapan tahun berlalu, Perpaduan Height terus menjadi bualan
ramai, tetapi kebelakangan ini bahan bualannya bukan kerana lokasi yang
cantik, tetapi akibat projek berkenaan terbengkalai dan belum ada tanda mahu
dipulihkan.
Apa yang tersergam di kawasan projek kini adalah adalah deretan rumah
terbengkalai yang sudah merekah serta jalan masuk dan sekitar taman
berlubang-lubang dan menyakitkan mata 213 pembeli yang sebelum ini
berangan-angan tinggal di rumah sendiri sambil menikmati keindahan alam dari
atas bukit.
TERTIPU: Antara pembeli kecewa selepas projek tersebut terbengkalai sejak
enam tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian.
Sebahagian besar daripada mereka adalah kakitangan awam yang kecewa bukan
saja kerana terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman, malah impian
tinggal di rumah sendiri berkecai dan terpaksa menyewa di rumah lain.
Seorang pembeli, Mohd Salehudin Abdullah, 42, berkata rumah yang dibelinya
dibangunkan dalam fasa pertama projek pembinaan perumahan itu yang dirancang
dimajukan dalam lima peringkat yang dijangka siap sepenuhnya pada 2001.
"Mengikut perancangan, kawasan ini berdekatan Masjid Saidina Ali dan Taman
Bukit Intan, selain dilengkapi kemudahan seperti sekolah, kompleks sukan dan
padang permainan kanak-kanak yang menyebabkan saya tertarik untuk membelinya.
"Bagaimanapun, saya terkejut selepas perjanjian ditandatangani dan projek
dimulakan, lokasi rumah saya dipindahkan ke tempat lain yang terletak
kira-kira satu kilometer dari lokasi asal," katanya.
BAHAYA: Jalan masuk sekitar taman merekah dan berlubang.
Rakannya, Abdullah Sani Sulaiman, 35, pula berkata projek berkenaan dikesan
mula terbengkalai pada 2001 menyebabkan kebanyakan pembeli merungut kerana
dibebani hutang pinjaman bank serta bayaran sewa rumah.
Katanya, mereka sudah melakukan pelbagai cara, termasuk mengajukan masalah
berkenaan kepada pihak atasan, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan
susulan diambil, manakala pemaju projek terbabit pula menghilangkan diri.
"Pada 11 September lalu, kami mengadakan sesi perbincangan dengan Majlis
Daerah Kuala Pilah (MDKP) yang memberi jaminan masalah ini dapat
diselesaikan selepas mereka mencari pemaju baru, tetapi kami tidak yakin
dengan jaminan itu," katanya.
Seorang lagi pembeli, Lee Ching Mei, 36, berkata selepas mendapati projek
terbabit terbengkalai, kebanyakan pembeli yang meminjam bank, membuat
keputusan tidak menjelaskan ansuran sehingga ada yang dikenakan tindakan
mahkamah dan disenarai hitam.
"Mereka terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu menanggung hutang bank,
sedangkan rumah tidak siap dan dalam masa sama terpaksa menyewa di tempat
lain. Malah, saya difahamkan ada juga pembeli yang mengambil pinjaman
kerajaan masih membayar ansuran sehingga kini," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah, Datuk Norhayati
Omar, berkata masalah pembeli itu mendapat perhatian kerajaan negeri yang
sedang berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin.
Beliau berkata, kawasan perumahan itu adalah projek kerjasama sebuah
syarikat pemaju dan MDKP, tetapi kini disenaraikan sebagai projek
terbengkalai selepas pemaju terbabit dikatakan tidak bersungguh-sungguh
menyiapkan projek berkenaan.
Berikutan itu, katanya, MDKP kini sedang berusaha mencari pemaju yang
berminat menyambung semula projek berkenaan dan dalam masa sama membantu
meringankan masalah pembeli di situ.
"Saya juga berusaha menyelesaikan masalah ini, termasuk mengatur pertemuan
dan sesi dialog di antara pembeli dan bank, baru-baru ini bagi membincangkan
cara meringankan beban pinjaman pembeli terbabit.
"Dalam perbincangan itu juga, mereka yang mendapatkan pinjaman kerajaan
dipertimbangkan untuk pinjaman kali kedua sekiranya mahu membeli rumah
lain," katanya, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri.
Norhayati berkata, sekiranya tidak ada pemaju baru yang berminat
membangunkan projek berkenaan, kerajaan negeri akan memohon bantuan Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB), tetapi ia mungkin mengambil masa kerana SPNB
mengutamakan projek terbengkalai kritikal, terutama yang mencecah 20 tahun.
FAKTA: Perpaduan Height
Terletak kira-kira tujuh kilometer daripada bandar Kuala Pilah
213 unit kediaman kos rendah, sederhana dan kedai
Harga jualan antara RM35,000 hingga RM65,000. |