Tapak projek sarang maksiat
15/01/2007 HM Oleh Manan Samad
PUTRAJAYA: Tapak projek enam blok apartmen di Presint
8 di sini, yang terbengkalai sejak dua tahun lalu, dipercayai menjadi
‘sarang maksiat’ untuk golongan remaja melempias nafsu.
Ini kerana, ada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran kerap kali
melihat kereta dan motosikal dinaiki pasangan remaja melalui jalan kecil ke
tapak projek itu selepas jam 10 malam terutama pada hujung minggu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 11, Carlos Basri, berkata kegiatan itu
disedari penduduk sekurang-kurangnya sejak setahun lalu.
“Saya sendiri pernah melihat kereta dan motosikal yang dinaiki pasangan muda
melalui jalan kecil ke tapak projek itu, boleh dikatakan hampir setiap malam.
“Kita tak pasti apa yang mereka buat, tapi perbuatan mereka boleh
menimbulkan syak wasangka dan lazimnya bermotifkan maksiat,” katanya di sini,
semalam.
Carlos yang menetap di sini sejak lima tahun lalu berkata, penduduk juga
khuatir tapak projek itu menjadi lokasi penagihan dadah, selain tempat
pembiakan nyamuk.
Katanya, situasi itu boleh menjejaskan imej Putrajaya sebagai bandar bestari
dan bandar selamat.
“Penduduk berharap pemaju atau pihak berkuasa yang terbabit dapat memastikan
tapak projek itu tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dan lokasi gejala
tidak sihat.
“Kalau pun projek itu tidak dapat diteruskan lagi, mereka harus pastikan
tapak projek terbabit bersih daripada segala aspek negatif.
“Bandar selamat tidak semestinya dilihat daripada aspek jenayah tetapi juga
penyakit dan kesihatan.
“Tapi alangkah baik kalau projek itu dapat disambung semula kerana lokasinya
cukup menarik,” katanya.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kawasan sekeliling tapak projek itu
mula dipenuhi semak samun dan ada beberapa tempat air bertakung terutama
pada musim hujan.
Kawasan itu dipagar dengan zink tapi masih boleh dimasuki. Malah terdapat
kesan tapak projek itu diceroboh berdasarkan beberapa laluan baru bagi
mereka yang berjalan kaki.
Siasatan juga mendapati sebuah pondok kecil ‘misteri’ yang didalamnya
terdapat tikar dan bantal buruk.
Namun, kawasan itu cukup sesuai untuk melakukan maksiat kerana tersembunyi
daripada umum, berhampiran Tasik Putrajaya.
Tapak projek itu berhampiran Jambatan Seri Wawasan yang terkenal sebagai
lokasi remaja melepak selepas jam 11 malam. |