This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Sukar beli rumah lain
29/01/2007 Harian Metro Oleh Manan Samad

PUTRAJAYA: Seramai 404 pembeli projek rumah terbengkalai di Bandar Pinggiran Cyber, Cyberjaya, dekat sini, makin dirundung malang apabila berada dalam keadaan tersepit untuk memohon pinjaman bagi membeli rumah lain.

Masalah itu berlaku berikutan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mentakrifkan status projek terbabit sebagai bermasalah, berbanding syarat Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan dan pihak bank yang berkehendakkan status projek terbengkalai dari kementerian itu, sebelum meluluskan pinjaman.

Kerenah birokrasi itu menyebabkan pembeli rumah terbabit yang majoritinya kakitangan kerajaan berada dalam keadaan ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Ini kerana, mereka bukan saja tidak dapat tinggal di rumah yang sepatutnya siap tiga tahun lalu itu, malah hasrat untuk membeli rumah baru terbantut berikutan takrifan status projek.

Lebih pelik, sebuah lagi agensi kerajaan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mentakrifkan projek itu sebagai terbengkalai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bandar Pinggiran Cyber, Syed Kamaruddin Syed Samsuddin, berkata pembeli rumah terbabit berharap kementerian itu dapat menukar takrifan status projek berkenaan bagi memudahkan mereka membuat pilihan.

“Seorang pegawai di kementerian itu secara lisan memberitahu saya, tindakan itu terpaksa dilakukan untuk menjaga reputasi pemaju supaya tidak menghadapi masalah dengan bank.

“Tetapi bagaimana dengan nasib kami sebagai pembeli? Kami kini betul-betul berada dalam keadaan tersepit, rumah tak siap...nak buat pinjaman untuk beli rumah lain pun tak boleh.

“Kami hairan bagaimana kementerian itu menganggap projek terbabit bermasalah, walhal LPHS yang bertanggungjawab mengawasi projek perumahan di Selangor mentakrifkannya sebagai terbengkalai,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Mengenai perkembangan projek itu, Syed Kamaruddin berkata, masalah bekalan air kini penghalang utama untuk projek terbabit disambung semula.

Ini kerana, katanya, ada perbezaan pendapat di antara Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) cawangan Sepang, pemaju Cyberjaya dan pemaju projek itu.

“Pemaju Cyberjaya mendakwa kapasiti bekalan air sudah penuh dan tidak dapat disalurkan ke tapak projek terbabit, manakala Syabas Sepang mendakwa sebaliknya.

“Kami tidak pasti siapa yang betul, tetapi bagi kami, pihak terbabit perlu mempercepatkan rundingan untuk mengatasi masalah itu. Kami dah tak larat tanggung beban sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 404 pembeli rumah di Fasa 3D1 Bandar Pinggiran Cyber, kecewa kerana projek perumahan yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu, sehingga kini tiada tanda untuk dipulihkan.

Berikutan itu, LPHS campur tangan untuk membantu menyelesaikan masalah pembeli rumah terbabit, termasuk mengadakan rundingan dengan pemaju serta agensi kerajaan berkaitan projek berkenaan.

selain agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Syabas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.