This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Sikap pemaju punca banjir
31/01/2007 Harian Metro Oleh Ahmad Syahrul Derauh

GEMAS: Kerajaan negeri mengenalpasti tindakan segelintir pemaju menutup saluran anak sungai di daerah ini untuk membangunkan kawasan perumahan sebagai punca utama berlakunya bencana banjir sehingga menyebabkan kerosakan harta benda penduduk, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pemaju sanggup mengabaikan risiko yang boleh berlaku semasa membangunkan kawasan terbabit walaupun mengetahui ia bakal mengundang banjir.

Beliau berkata, tindakan pemaju menutup saluran anak sungai berhampiran ketika mendirikan kawasan perumahan itu menyebabkan berlakunya limpahan air sebaik hujan lebat melanda.

“Kita sudah mengenal pasti pemaju projek penempatan rumah rakyat berdepan dengan Kem Syed Sirajuddin, di sini menutup anak sungai sehingga mengganggu kelancaran saliran.

“Sungai itu sememangnya laluan air. Bila ditutup, air melimpah keluar,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir, di Dewan Orang Ramai Gemas, di sini, semalam.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemas, Datuk Jamlus Aziz.

Sehubungan itu, Mohamad mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat tindakan susulan bagi menangani masalah itu termasuk lebih peka sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan di daerah ini.

Katanya, projek membabitkan kawasan yang mudah dilanda banjir seperti kawasan paya dan hutan bakau perlu dikaji semula supaya tidak mengundang masalah kepada penduduk sekitar.

“Kalau mereka hendak membuat pembangunan, bangunkanlah kawasan lain. Banyak lagi kawasan lain yang boleh dibangunkan selain tempat berisiko ini, “ katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pemaju terbabit dalam masa terdekat.

Dalam majlis itu, seramai 415 keluarga menerima bantuan sebanyak RM500 serta tambahan antara RM100 hingga RM200 untuk mangsa yang mempunyai anak yang masih bersekolah selain sumbangan barang keperluan.

Ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri untuk menangani banjir selepas ini, Mohamad berkata, usaha sedang dibuat dengan menumpukan kepada kerja pelebaran anak sungai di sekitar negeri ini yang kini didapati semakin cetek.

“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk membuat kerja menggali, melurus serta mendalamkan sungai itu supaya ia dapat menampung air ketika hujan lebat, “ katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.