This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli mengeluh rumah tak siap
15/01/2007 Berita Harian Oleh Shukor Kasim

Projek perumahan Taman Bidara Palma di Masjid Tanah dibina sejak 2000 masih terbengkalai

MELAKA: Lebih 100 daripada 270 pembeli rumah Taman Bidara Palma, Tanjung Bidara, di Masjid Tanah kesal berikutan projek perumahan rumah yang mereka beli sejak 2000 masih terbengkalai.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan seperti menghantar surat, mendaki anak tangga bertemu pegawai pejabat perumahan, selain mengadu kepada wakil rakyat, masalah mereka terus berlarutan.

Pemaju sudah dua kali beralih tangan, tetapi projek masih pada takuk lama dengan banyak rumah tidak siap seperti tanpa bumbung, cermin, pintu, tingkap dan sistem perparitan sempurna.

Pemaju kedua yang mengambil-alih projek juga ibarat melepaskan batuk di tangga dan lebih menyedihkan kini tinggal beberapa pekerja saja melakukan kerja pembinaan.

ROSAK: Keadaan siling sebuah rumah yang
mempunyai kesan bocor akibat terkena hujan

Jika ada rumah yang sudah siap, banyak pula bahan binaan sudah rosak seperti wayar elektrik yang dicuri, siling rosak, jubin dan lantai simen pecah, selain persekitaran dipenuhi semak-samun.

Keadaan itu amat memeritkan, apatah lagi mereka yang membuat pinjaman bank dan pemotongan bayaran balik yang tinggi.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak, Mohd Yusoff Nasir, berkata pihaknya kecewa kerana ia berlarutan sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, projek perumahan itu membabitkan rumah kos rendah, rumah berkembar dua tingkat dan banglo yang semuanya dibuka kepada pembeli Bumiputera dengan kebanyakannya dibeli anggota tentera dan penduduk tempatan.

Katanya, sebahagian besar fasa pertama membabit lebih 194 pintu sudah dihuni, walaupun tidak mempunyai sijil menduduki (CF) daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Bagaimanapun, katanya, sebahagian pembeli dibenarkan menduduki rumah masing-masing walaupun tidak mempunyai CF.

"Fasa kedua membabitkan 81 rumah kos rendah dan 80 peratus pembinaannya sudah siap. Masalahnya, mengapa pemaju tidak menyiapkan sepenuhnya," katanya.

Mohd Yusoff berkata, walaupun projek berkenaan bermasalah, pihaknya berharap pemaju membenarkan 81 pembeli memasuki rumah seperti dalam fasa pertama.

"Kami tidak kisah jika tiada CF kerana yang penting kami dapat duduk. Sampai bila pembeli harus menanti dan terus menanti tanpa penghujungnya," katanya.

Mohd Yusoff kecewa kerana pemaju yang mengambil alih projek langsung tidak mahu mengadakan perundingan dengan pembeli.

"Kami sedia bertemu untuk mendengar masalah mereka. Malangnya, tidak seorang pun pegawai atasan pemaju tampil," katanya.

Beliau berkata, ramai pembeli mengadu kepada peguam, tetapi pihak terbabit berkata masalah berkenaan perlu diselesaikan dengan pemaju.

Pesara tentera, Siti Nor Othman, 45, berkata beliau membeli sebuah banglo berharga RM136,000 melalui potongan gaji RM750 sebulan dan pemaju berjanji menyiapkannya selewat-lewatnya Jun 2006, tetapi janji hanya tinggal janji.

"Lebih menyedihkan rumah saya terbengkalai dengan bahagian bumbung pun belum dipasang. Sebilangan besar dinding sudah didirikan batu, tetapi ada tiang yang dibina sengit," katanya.

Rozaimi Zakaria, 36, berkata beliau membeli rumah di Lot 566 berharga RM197,000 dan perjanjian menyatakan ia siap pada 2003.

“Saya dapati pembinaannya tidak mengikut spesifikasi. Lantai juga tidak berkualiti dengan nisbah pasir lebih banyak daripada simen hingga menyebabkan struktur lantai mudah pecah dan retak.

"Saya tak tahan dengan keadaan ini apa lagi kini menanggung tiga anak termasuk seorang anak kurang upaya," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.