This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli desak pemaju segera siapkan rumah terbengkalai
24/10/2007 Utusan Malaysia Oleh Muhammad Rizanizam Abdul Hamid


PUCHONG 23 Okt. – Hampir 200 pembeli 814 unit rumah dua tingkat di empat projek perumahan Taman Lestari di sini menggesa pemaju menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu.

Empat projek perumahan yang terbengkalai itu ialah Amaryllis yang mengandungi 209 unit rumah teres dua tingkat, De-Elina (244), Artemisia (156) dan Camelia (200).

Mengikut perjanjian jual beli, projek Amaryl dan Artemisia dibeli pada Disember 2003, De-Elina (April 2003) manakala Camelia pada Mei 2005.

Namun sehingga kini ada di antara projek perumahan itu gagal disiapkan langsung, dan selebihnya hanya berjaya disiapkan secara berperingkat-peringkat antara 50 peratus dan 75 peratus.

Dakwa pembeli, mereka telah beberapa kali cuba untuk mengadakan perbincangan bersama pemaju, namun semuanya sia-sia dan pemaju memberikan alasan kontraktor terpaksa ditukar.

Seorang pembeli, Mohd. Syarriman Mohd. Staper, 28, berkata, isu tersebut turut diketahui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetapi mereka hairan mengapa masih tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas pemaju.

“Apa yang KPKT bagi tahu, mereka akan buat pemantauan terhadap projek perumahan ini tetapi sekarang sudah hampir setahun berlalu, masih tiada apa-apa tindakan.

“Saya amat berharap, KPKT memandang serius perkara ini dan membela nasib pembeli sehingga ada yang terpaksa membelanjakan hampir lebih RM2,000 sebulan untuk membayar ansuran dan sewa rumah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pembeli, Cannie Chong, 30, berkata, perjumpaan pernah dibuat dengan pihak pemaju, Ahli Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jun lalu.

Katanya, selepas perjumpaan itu, pemaju bersetuju menyambung semula kerja-kerja pada awal Julai lalu.

‘‘Namun perkembangannya amat perlahan. Logik atau tidak, untuk sebuah projek taman perumahan hanya empat atau lima orang sahaja bekerja sehari.

‘‘Kami bukan kanak-kanak. Mudah untuk ditipu,’’ katanya.

Beliau yang membeli rumah De-Elina bernilai RM152,900 mendakwa pemaju turut melengah-lengahkan pembayaran denda kerana gagal menyiapkan rumah tersebut.

‘‘Apabila dihubungi mereka kata bulan depan. Bulan depan hubungi balik mereka kata bulan depan satu lagi,’’ katanya sambil menambah surat juga telah dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.

‘‘Tetapi tiada jawapan,’’ ujarnya yang terpaksa membelanjakan sebanyak RM700 untuk membayar ansuran rumah tersebut.

Sementara itu, seorang pembeli Hafidah Awalludin, 35, berkata, dia terpaksa menggunakan seluruh gaji bulanannya untuk melangsaikan bayaran ansuran dan sewaan dua buah rumah.

“Bayangkan, sejak empat tahun lalu, saya terpaksa menanggung sewaan rumah lain sebanyak RM600 sebulan dan pada masa yang sama saya perlu membayar ansuran rumah yang terbengkalai ini sebanyak RM1,200.

“Saya sangat kesal dengan sikap lepas tangan pemaju tanpa memikirkan nasib pembeli yang menanggung pelbagai hutang lain,’’ katanya yang bekerja sebagai Juru Bahasa Isyarat Persatuan Orang Pekak Malaysia.

Tambahnya, dia amat berharap, pihak berkuasa dapat tampil bagi menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Bagi Leong Kee Poh, 42, pula menyifatkan pemaju tidak serius untuk menyelesaikan masalah perumahan tersebut.

“Pemaju bersetuju untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan secepat mungkin, tapi semua itu sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

“Selepas beberapa hari, kerja-kerja pembinaan terhenti semula, dan apabila kami persoalkan, pemaju mengatakan ia terpaksa dihentikan kerana penukaran kontraktor,’’ katanya.

Seorang pembeli unit rumah Artemisia, Chai Ching Han, 29, pula berkata, pemaju perlu menghentikan sikap berdolak-dalih dan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah kepada pembeli.

“Sekarang ini keutamaan kami ialah kami mahukan rumah yang dijanjikan siap mengikut perjanjian.

“Tentang bayaran pampasan lewat daripada pemaju kepada kami itu mungkin soal ke dua. Sekarang ini, kami perlukan rumah bagi mengurangkan perbelanjaan bulanan untuk menyewa rumah lain,’’ tegasnya

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.