Pembeli duduki rumah teres
Taman Widuri mulai Disember
30/10/2007 Berita Harian
KEPALA BATAS: Pembeli rumah teres kos rendah dan sederhana rendah Taman
Widuri Sungai Bakap Seberang Prai Selatan (SPS) dijangka boleh menduduki
rumah mereka, Disember ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, berkata kerajaan
negeri sudah mengarahkan Syarikat Perumahan Negara Berhad SPNB menyelesaikan
kerja yang terbengkalai bagi membolehkan rumah berkenaan mendapat sijil
layak menduduki CF.
Katanya, kerajaan negeri menyedari pembeli menghadapi masalah akibat
kelewatan menduduki rumah berkenaan yang siap dibina tetapi belum mendapat
CF.
Beliau berkata, kelewatan itu disebabkan pemaju asal Syarikat Diamond Growth
Sdn Bhd gagal menyiapkan sistem perparitan dan pembentungan dalam projek
berkenaan.
"Kerajaan negeri berharap SPNB mempercepatkan kerja menyiapkan infrastruktur
yang belum siap," katanya ditemui selepas merasmikan Kursus Haji Perdana
yang di sertai 1,650 bakal haji seluruh negeri di Dewan Milenium di sini,
semalam.
Abdul Rashid diminta mengulas rungutan seorang pembeli rumah di taman
berkenaan yang disiarkan di halaman surat dan email akhbar ini minggu lalu
yang tidak puas hati kerana menunggu terlalu lama untuk menduduki rumah
berkenaan.
Pembeli itu mendakwa projek yang diambil alih SPNB 31 Oktober 2005
dijadualkan siap April 2007 tetapi sehingga kini pembeli belum mengetahui
bila projek itu hendak disiapkan kerana sambungan kerja rumah terbengkalai
itu mengambil masa lebih dua tahun.
|