Pemaju serah notis batal beli
26/10/2007 Berita Harian Oleh Hanisah Selamat
Pembeli pangsapuri kos rendah Taman Puncak Jalil keliru
KUALA LUMPUR: Sepatutnya pangsapuri kos rendah Fasa 16 A Taman Puncak Jalil,
Seri Kembangan, di sini siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, namun
selepas projek itu dimulakan pada 2003, hanya binaan asas saja jelas
kelihatan.
Lebih mengecewakan pembeli yang rata-rata individu berpendapatan rendah
adalah apabila pemaju mengirimkan notis bersama surat jawapan meminta mereka
membatalkan pembelian tanpa sebarang syarat dan terma yang dipersetujui
kedua-dua pihak pada 16 Oktober lalu.
Bimbang dengan janji manis pemaju yang sampai kini tidak mengotakan janji
untuk membayar semula deposit, persatuan pembeli flet berkenaan akan
menggunakan khidmat peguam bagi memastikan urusan pembayaran dilakukan
secepat mungkin sekali gus mengelakkan penipuan.
Wakil Pembeli Rumah Taman Puncak Jalil Fasa 16 A, Yong Siew Wei berkata,
jawatankuasa sementara yang ditubuhkan kira-kira tiga bulan lalu itu akan
memastikan pemaju tidak lari daripada tanggungjawab untuk menjelaskan segala
pembayaran yang sudah dilakukan pembeli.
Beliau berkata, sebelum ini pemaju memberi alasan projek itu terpaksa
dibatalkan berikutan masalah jambatan menghubungkan kawasan itu tidak dapat
dibina namun dalam notis terbaru dikatakan pembatalan disebabkan kerajaan
mengambil tanah mereka untuk projek lebuh raya.
"Kami sudah tidak mahu mendengar alasan pemaju lagi kerana yang penting
adalah wang yang sudah kami laburkan untuk flet ini malah ada pembeli yang
sudah terpaksa membayar faedah pinjaman kepada bank.
"Walaupun sudah bertemu wakil pemaju, mereka seakan berdolak dalik malah
kali terakhir memaklumkan akan membayar semula wang kami 15 Oktober lalu.
Sampai sekarang tiada seorang pun antara kami menerima wang itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat kedua yang diadakan bersama
kira-kira 300 pembeli flet terbabit yang turut dihadiri wakil Persatuan
Pembeli Rumah.
"Ini adalah perjumpaan kedua dan kami risau jika ada di antara pembeli yang
menandatangani surat jawapan itu tanpa menelitinya apabila tidak dinyatakan
secara jelas bila tarikh pembayaran itu akan dilakukan," katanya.
Yap berkata, apartmen kos rendah 18 tingkat dengan tiga blok bangunan
difahamkan bakal menempatkan 2,200 unit kediaman pada harga bermula RM42,000
selain dilengkapi taman permainan dan surau.
Hingga kini, masih ramai yang tertanya-tanya bagaimana kesudahan nasib
mereka apabila beban pinjaman ini tidak membolehkan mereka membeli flet kos
rendah lain.
Sementara itu, seorang pembeli, Yap Wan Chik, 29, berkata mereka menerima
surat daripada pemaju bertarikh 21 Julai menyatakan projek itu tidak dapat
diteruskan tetapi pemaju berjanji akan membayar semua wang pembeli termasuk
kos perjanjian sewa beli.
"Kami diberikan borang untuk ditandatangani sebelum menerima wang yang
dijanjikan diberi dan mereka mahu menjelaskan pembayaran itu pada September
lalu malah selepas tarikh baru iaitu 16 Oktober, tidak sesen pun dihulurkan.
"Diharap kerajaan sedia membantu selain menyenarai hitam pemaju seperti ini
yang cuba mengambil kesempatan sedangkan kami hanya individu berpendapatan
rendah. Setiap sen yang kami keluarkan begitu bermakna," katanya.
Terdahulu, jawatankuasa persatuan pembeli turut mengadakan pertemuan antara
pemaju, wakil pembeli serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang
mana pemaju berjanji menjelaskan semua bayaran selepas Aidilfitri.
"Biarlah selepas ini pemaju berurusan dengan peguam yang kami lantik. Segala
dokumen asal perjanjian juga akan kami serahkan kepada peguam untuk tindakan
lanjut," katanya. |