This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah retak, pembeli gelisah
Berita Harian 11/8/2006 Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

Penduduk Taman Rawang Perdana 2 kecewa pemaju tidak endah aduan

RAWANG: Kediaman yang selesa memang menjadi idaman setiap orang. Manakan tidak, sebagai tempat berteduh ia menjadi ruang untuk seisi keluarga berehat dan berkumpul.

Sudah tentu juga kediaman yang dimiliki itu seharusnya selamat bagi memastikan anggota keluarga terhindar daripada segala bahaya.

Namun, ini tidak berlaku kepada kira-kira 500 penduduk Taman Rawang Perdana 2, di sini kerana, sejak empat tahun lalu kediaman yang mereka duduki menghadapi masalah keretakan.

Apa yang lebih menyakitkan ialah pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah itu seolah-olah melepaskan diri sendiri dan tidak menanganinya menyebabkan kehidupan seharian penghuni kediaman di kawasan perumahan itu terjejas.

Aduan demi aduan yang dikemukakan kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT), tidak memberikan sebarang kesan menyebabkan rekahan kecil yang dialami kebanyakan rumah menjadi semakin serius serta membimbangkan mereka.

Penduduk mendakwa aduan yang diajukan kepada pemaju dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ibarat seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ malahan mereka menolak penduduk ke sana ke mari, menjadikan masalah yang dihadapi bukan saja tidak ditangani, tetapi bagai tidak akan ada kesudahan.

Pemaju dan kontraktor tidak mengendahkan aduan penduduk atas alasan mereka sudah membaiki rumah yang mengalami masalah ini beberapa kali iaitu dalam tempoh jaminan selama 18 bulan yang dikatakan sudah tamat sekali gus membuatkan penduduk kebingungan dan hampa.

Seorang penduduk yang menghadapi masalah keretakan pada rumahnya, Suppiah Amirthalingam, 55, berkata beliau sudah mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan hasilnya, penduduk dimaklumkan bahawa masalah ia adalah di bawah tanggungjawab MPS dan ia menyebabkan pembeli bertambah kesal dan tertekan.

“Baru-baru ini saya diberitahu oleh bahagian insurans perumahan bank tempatan dan pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa rumah ini tidak selamat diduduki akibat struktur tanah di bawah lantainya tidak padat sekali gus boleh mengakibatkan rekahan.

“Memang pemaju membaiki kesan rekahan sebelum ini, tetapi ia dibuat ala kadar dan pemaju menggunakan batu blok berongga sebagai bahan asas dinding rumah, bukannya menggunakan batu bata seperti yang tercatat dalam surat perjanjian jual-beli,” dakwanya yang sudah 12 kali membaiki rekahan dinding rumah termasuk kerugian RM2,800 akibat masalah anai-anai.

Struktur rumah teres dua tingkat milik Amirthalingam retak teruk terutama pada dinding dan siling dengan rekahan sehingga dua sentimeter selain mendapan dan lantai simen tidak rata di dalam dan luar rumah.

Sentral difahamkan, lebih 100 penghuni di kawasan itu sudah berpindah akibat tidak tahan dengan masalah yang dihadapi dan ada sebahagian yang masih belum memasuki rumah mereka kerana tidak berpuas hati dengan keadaan rumah yang disediakan pemaju.

Timbalan Presiden Persatuan Penduduk, Abdul Rahman Hussin, berkata penduduk kecewa selepas mendapati rumah yang dibeli pada harga RM109,000 itu mengalami keretakan serius.

“Kebanyakan penduduk menerima Sijil Layak Menduduki (CF) pada September 2005 walaupun rumah ini siap sejak enam tahun lalu.

“Selain itu, pemaju juga mengambil masa empat tahun untuk membaiki pelbagai masalah rumah yang hanya disertakan CF sementara sebelum diserahkan semula kepada pembeli tanpa memberi pampasan.

“Mereka memberi alasan, semua pampasan digunakan untuk memperbaiki masalah di setiap rumah,” katanya.

 

Fakta Nombor

 

Keretakan rumah - 500 penduduk Taman Rawang Perdana 2 menghadapi masalah

RM2,800 - kerugian dialami

100 penduduk berpindah

RM109,00 - harga rumah

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.