Rumah: SPNB rancang baik pulih
13 projek
02/07/2006
Mingguan Malaysia
SEREMBAN 1 Julai - Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) merancang untuk
mengambil alih dan membaik pulih 13 projek perumahan terbengkalai di seluruh
negara dalam tempoh dua tahun bermula tahun ini.
Pengurus Besar Pelaksanaan Projeknya, Ahmad Azizi Ali berkata, semua projek
tersebut telah dikenal pasti manakala jumlah dana untuk projek itu masih
dalam rundingan dengan kerajaan.
‘‘Untuk tahun 2006 dan 2007 kita berhasrat untuk mengambil alih dan membaik
pulih 13 projek perumahan terbengkalai bagi memastikan para pembeli tidak
terus teraniaya.
‘‘Kerajaan Pusat menerusi SPNB telah bekerja keras untuk membaik pulih
projek-projek perumahan terbengkalai yang dikenal pasti oleh Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Penerangan dan
Menandatangani Akujanji Projek Perumahan Terbengkalai Taman Senawang Jaya, (Fasa
1C) di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Kata Ahmad Azizi, pada tahun 2003 hingga sekarang, SPNB telah membaik pulih
sembilan projek perumahan terbengkalai yang dibiayai sepenuhnya melalui
bantuan kewangan kerajaan.
‘‘Kami turut membantu memastikan kerja-kerja baik pulih 53 buah lagi projek
perumahan terbengkalai dilaksana dengan baik melalui khidmat nasihat serta
pemantauan tanpa sebarang bantuan kewangan.
‘‘Untuk menjayakan usaha membaik pulih ini, SPNB menerima peruntukan RM300
juta daripada kerajaan,” katanya. |