Rumah PPR lebih murah: Ong
Berita Harian 2/7/2006
SEREMBAN: Sebahagian rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina
melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan dijual
pada harga lebih rendah berbanding harga semasa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata
penjualan rumah sedia ada dan bakal diduduki itu, bagaimanapun terhad kepada
penyewa sedia ada dan yang bakal dipindahkan ke situ.
"Kabinet pada dasarnya bersetuju sebahagian rumah PPR yang kini disewakan
RM124 sebulan dijual, tetapi konsep dan mekanisme proses itu akan
dibincangkan lebih lanjut dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan
(PBT).
"Bagaimanapun, harganya di sekitar RM35,000 yang lebih rendah dua kali ganda
jika mengambil kira kos tanah dan pembinaan," katanya selepas mesyuarat
agung MCA Negeri Sembilan, di sini semalam.
Pada 22 Jun lalu, mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan bersetuju
sebahagian rumah PPR dijual berikutan banyak permohonan dan rayuan yang
diterima.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan
mesyuarat itu, dilaporkan berkata, kerajaan menerima banyak permohonan dan
rayuan supaya penghuni diberi peluang memiliki rumah yang kini didiami
secara sewa.
Ong yang juga Presiden MCA dan Pengerusi MCA Negeri Sembilan, berkata rumah
PPR yang akan dijual bergantung kepada lokasi serta blok tertentu yang akan
dikaji kemudian.
"Contohnya, kita mungkin tidak menjual PPR di tengah bandar kerana ia
berisiko menjejaskan imej bandar itu jika semua penghuni tidak dapat
bekerjasama menyelenggara dan menjaga kebersihannya," katanya.
Katanya, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri,
PBT dan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi merangka mekanisma terperinci
mengenai penjualan rumah PPR terbabit untuk disiapkan secepat mungkin.
Setakat awal tahun lalu, lebih 60,000 keluarga setinggan di sekitar ibu
negara sudah dipindahkan ke rumah PPR yang dibina dalam usaha kerajaan
mengatasi masalah setinggan.
Dalam perkembangan lain, Ong berkata, MCA merangka usaha menarik penyertaan
masyarakat Cina dari kumpulan umur 21 hingga 35 tahun, termasuk mewujudkan
cawangan baru khas untuk mereka.
"Pemimpin bahagian dan cawangan MCA diminta melihat perkara ini dan jika ada
kumpulan belia Cina di kawasan berhampiran, kita boleh wujudkan cawangan
baru yang dipimpin belia sendiri.
"Kita tidak boleh ambil mudah keadaan selesa dalam parti sekarang,
sebaliknya memahami serta mengikut rentak serta kehendak golongan belia
kerana mereka ini adalah pengundi," katanya.
Katanya, keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak, baru-baru ini memberi mesej
bahawa usaha mendapatkan sokongan belia, terutama di bandar perlu
diperhebatkan dan tidak boleh dipandang ringan. |