Projek terbengkalai koleksi
baru Kota Tinggi
01/07/2006 BERITA HARIAN Oleh Zainal Ahamad
KOTA TINGGI: Daerah Kota Tinggi bukan saja terkenal sebagai lokasi
pelancongan menarik dengan pelbagai sumber alam semula jadinya, tetapi juga
peninggalan sejarah kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Johor lebih
1,400 tahun lalu.
Peninggalan tapak bersejarah itu boleh dilihat di sepanjang Sungai Johor
dari Tanjung Pengelih di hilir dan Sayung di hulu. Untuk mengetahui lebih
dekat berhubung sejarah berkenaan, orang ramai boleh berkunjung ke Muzium
Kota Tinggi yang mempamerkan lukisan, ilustrasi, peristiwa sejarah dan
artifak.
Itu adalah sejarah dan peninggalan sejarah yang sudah diketahui umum sejak
di bangku sekolah atau melalui cerita lisan yang menjadi kebanggaan penduduk
daerah ini.
Bagaimanapun, selain imbauan sejarah silam itu yang boleh dilihat sehingga
ke hari ini, kesan `peninggalan' projek terbengkalai mungkin juga boleh
menambah koleksi sejarah Kota Tinggi.
Bagi pelancong yang pertama kali berkunjung ke daerah ini melalui pusat
bandar Kota Tinggi lebih 10 tahun lalu akan disambut dengan bangunan
tersergam indah sebagai mercu tanda Kota Tinggi ketika itu iaitu bangunan
Hotel Apollo.
Bangunan hotel itu masih berdiri tegak sehingga kini cuma keadaan bangunan
itu semakin lusuh dan menyakitkan mata memandang berikutan semua tingkap
cermin dan bingkai aluminiumnya sudah menjadi rezeki penjual besi buruk.
Hotel bertaraf tiga bintang itu hanya sempat bertahan kira-kira tiga tahun
sebelum operasinya ditamatkan berikutan mengalami kerugian dan sehingga kini
tidak ada sebarang usaha untuk membangunkan semula hotel berkenaan.
Pengunjung yang melawat Makam Sultan Mahmud Mangkat di Julang di Kampung
Makam pula disambut dengan projek Laman Gasing yang kini menjadi projek
gajah putih yang terus terbiar sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Laman Gasing yang bernilai kira-kira RM70,000 hanya sempat digunakan sekali
pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah pada 2003 bagaimanapun
pertandingan gasing itu hanya dijalankan di halaman luar gelanggang
berikutan gelanggang sebenar tidak dapat digunakan kerana masalah teknikal.
Sehingga kini, Laman Gasing itu terbiar menyebabkan kemudahan seperti
pendawaian elektrik, lampu dan kipas angin hilang, manakala gelanggang
ditumbuhi rumput dan pagar rebah menyembah bumi.
Selain itu, kemudahan stadium mini yang diharapkan dapat membantu melahirkan
atlit berpotensi selain mewujudkan budaya sihat yang diimpikan penduduk dan
ahli sukan di sekitar pusat bandar ini yang dijanjikan sejak kira-kira 20
tahun lalu masih tidak kesampaian.
Sebuah kawasan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah sudah disediakan
membabitkan sejumlah besar wang kerajaan digunakan untuk membersihkan tapak
stadium mini itu yang kini dipenuhi belukar.
Bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Tenggara ketika itu,
Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kini Menteri Pelajaran) pernah berjanji
untuk meneruskan pembinaan stadium berkenaan, tetapi tidak menjadi kenyataan
sehingga beliau berpindah ke Parlimen Semberong.
Bagaimanapun, penduduk terus berharap Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli
Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said supaya tidak terlepas pandang
untuk meneruskan projek stadium mini itu.
Alasan Kota Tinggi sudah memiliki dua stadium mini di wilayah Lembaga
Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Bandar Penawar dan Bandar Tenggara tidak
dapat diterima kerana lokasinya yang jauh daripada pusat bandar.
Sementara itu, langkah Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) melaksanakan kerja
menaikkan taraf padang awam dengan kemudahan astaka di Taman Kota Jaya
disambut gembira penduduk yang inginkan kemudahan beriadah di daerah ini.
Bagaimanapun, kontraktor yang bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan
hanya sempat mendirikan tiang konkrit astaka sebelum meninggalkan projek
berkenaan terbengkalai sejak hampir dua tahun lalu.
Selain itu, keindahan bangunan dan landskap kompleks pejabat kerajaan
Bangunan Sultan Iskandar turut tercemar dengan pemandangan deretan kedai
usang yang terbengkalai sejak lebih enam tahun lalu.
Deretan kedai dua tingkat itu dibina berhadapan Bangunan Sultan Iskandar
antara Jalan Kolam Air dan Jalan Tun Habab gagal disiapkan pemajunya dan
terus terbiar hingga kini.
Berikutan itu, kawasan berkenaan dipenuhi semak sementara bangunan kedai
pula ditumbuhi pokok liar yang mencacatkan pemandangan ini kerana bangunan
kerajaan itu menjadi tempat orang ramai berurusan selain kerap menerima
kunjungan pelawat.
FAKTA
Projek terbengkalai
Hotel Apollo
Laman Gasing
Stadium mini
Padang Awam (Taman Kota Jaya) |