Pembeli penentu kejayaan
konsep bina dan jual
Berita Harian 08/07/2006
JUAL dan bina atau bina dan jual. Konsep mana satu yang sepatutnya dipilih?
Bagi syarikat pemaju hartanah, sudah tentunya mereka akan memilih konsep
pertama kerana ia memihak kepada mereka.
Di bawah konsep ini pemaju hanya memerlukan pelaburan kecil bagi
membangunkan sesebuah projek kerana apa yang diperlukan hanya modal bagi
membeli tanah. Selepas mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa serta
melaksanakan kerja tapak, projek yang dicadangkan itu sudah boleh dijual.
Modal membiayai kos pembinaan boleh diperoleh daripada bank yang sudah
tentunya sentiasa bersedia menyalurkan pinjaman kerana pembeli bagi projek
itu sudah tersedia.
Kos bagi pinjaman itu pula adalah minimum berikutan tempoh yang singkat
kerana selepas menyiapkan peringkat tertentu pembinaan hartanah, mereka akan
mendapat bayaran daripada bank yang memberikan pinjaman kepada pembeli.
Justeru, pembangunan pesat sektor hartanah di negara ini yang menyaksikan
ramai memiliki lebih sebuah rumah sebahagian besarnya disumbangkan
pelaksanaan konsep jual dan bina ini.
Bagaimanapun, konsep ini ada keburukannya. Pertamanya pembeli tidak dapat
melihat secara fizikal hartanah yang mereka beli. Ini menyebabkan ramai yang
mengeluh apabila hartanah yang diserahkan kepada mereka tidak seperti yang
digambarkan dalam iklan atau brosur.
Lebih malang apabila ada projek yang terhenti separuh jalan berikutan
kegagalan pemaju mengawal kewangannya dengan baik. Ini menyebabkan pembeli
rugi kerana membayar bagi rumah yang belum tentu boleh diduduki.
Justeru, jika dilihat dari sudut keburukan itu, orang ramai tentunya akan
memilih konsep bina dan jual, iaitu pemaju membina dulu hartanah dan apabila
siap baru dijual. Melalui cara itu, pembeli boleh meneliti mutu dan
persekitaran malah jiran mereka.
Bagaimanapun, persoalannya adakah Malaysia bersedia sepenuhnya untuk
mengamalkan konsep bina dan jual ini?
Jika kita mengimbas kembali, matlamat utama kerajaan membenarkan pemaju
memajukan projek berdasarkan konsep jual dan bina adalah bagi mempercepatkan
pertumbuhan sektor hartanah di negara ini.
Ketika itu sebagai sebuah negara yang sedang membina ekonominya, keperluan
bagi perumahan sangat kritikal terutama bagi menyokong pembangunan
perbandaran dan kawasan perindustrian baru.
Bagaimanapun, keupayaan syarikat tempatan memajukan projek hartanah besar
adalah terhad jika mereka disyaratkan untuk menyiapkan terlebih dulu sebelum
boleh dijual.
Justeru, bagi menambah penawaran hartanah, kerajaan membenarkan syarikat
hartanah memajukan projek berdasarkan konsep jual dan bina.
Langkah itu juga adalah antara penyumbang utama kepada pertumbuhan pesat
ekonomi negara selama ini kerana pelaksanaan begitu banyak projek hartanah
memberikan limpahan kepada sektor pembinaan serta industri berkaitan
dengannya.
Namun, keadaan ekonomi negara kini sudah jauh berubah. Walaupun Malaysia
belum secara rasmi diiktiraf sebagai negara maju, pada asasnya negara ini
sudah pun menghampiri status itu.
Dalam sektor hartanah, di sesetengah lokasi serta bagi kategori hartanah
tertentu, kita sudah pun menyaksikan berlaku lebihan penawaran.
Oleh yang demikian, jika pun kerajaan tidak mensyaratkan pemaju hartanah
tempatan mengamalkan konsep bina dan jual, mereka sepatutnya boleh mula
menimbang untuk berbuat demikian bagi meningkatkan daya saing.
Rasanya pembeli sudah tentunya tidak lokek untuk membayar harga lebih tinggi
sedikit jika mereka dapat memastikan hartanah yang dibeli memenuhi apa yang
mereka harapkan, dari segi reka bentuk, kualiti dan persekitaran.
Namun, sebenarnya dalam menentukan konsep yang mana satu harus diamalkan
pemaju hartanah, sama ada bina dan jual atau jual dan bina, kuasa penentuan
mutlaknya adalah di tangan pembeli. |