This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kenaikan harga libatkan rumah mewah
08/07/2006 Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 7 Julai - Kenaikan harga rumah melalui konsep bina dan jual hanya memberi kesan besar kepada rumah mewah, kata Bendahari Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Osman Abu Bakar.

Menurutnya, kenaikan itu berpunca daripada faedah pinjaman tinggi yang perlu ditanggung oleh pemaju bagi membina dan menyiapkan rumah jenis itu.

‘‘Sebelum ini, faedah pinjaman ditanggung sendiri oleh pembeli kerana mereka yang membuat pinjaman bank.

‘‘Dengan konsep baru ini, pemaju terpaksa membuat pinjaman awal bagi menjalankan projek dan ia pastinya dikenakan faedah oleh bank. Pemaju tentunya mahukan kos faedah itu dibebankan ke atas pembeli,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan bagi rumah kos rendah dan sederhana dijangka minimum kerana ia tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi.

Konsep bina dan jual diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Jun lalu dengan pembeli dikenakan bayaran pendahuluan 10 peratus dan 90 peratus lagi dibayar selepas rumah siap dibina.

Bagaimanapun, semalam, Najib menjelaskan konsep baru itu adalah opsyen bagi pemaju dan mereka masih boleh menggunakan konsep konvensional bagi menjalankan projek perumahan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Maamor Osman berkata, konsep baru yang diumumkan oleh kerajaan perlu diamalkan bagi melindungi hak pengguna.

Katanya, memang akan ada kenaikan harga tetapi pemaju tidak boleh menjadikan alasan bayaran faedah pinjaman untuk menetapkan harga sehingga berlipat kali ganda.

‘‘Pemaju yang membuat pinjaman besar daripada bank biasanya akan dikenakan kadar faedah lebih rendah dan sekiranya ia diserapkan kepada pembeli, saya yakin mereka dapat menerimanya,” ujarnya.

Jelas beliau, konsep itu juga menjadikan pemaju lebih berhemah dalam berbelanja kerana tahu kesan yang perlu ditanggung sekiranya projek berkenaan terbengkalai.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak perlu menyediakan insentif kepada pemaju yang memilih konsep bina dan jual kerana ia akhirnya akan memberi kesan kepada pengguna.

‘‘Kalau dah semua benda nak beri insentif baik kita minta kerajaan saja yang buat rumah untuk rakyat melalui agensi yang ada seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebab akhirnya faedah yang dibayar dapat semula kepada rakyat,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.