Insentif boleh kekang kenaikan
harga rumah
08/07/2006 Berita Harian
KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) yakin
pemberian insentif kepada pemaju yang melaksanakan pembinaan projek
perumahan menerusi konsep bina dan jual akan membantu mengekang kenaikan
harga rumah.
Rehda dalam kenyataannya semalam berkata, pemberian insentif itu juga akan
menarik minat pemaju memilih konsep pembinaan projek perumahan berkenaan.
Katanya, kenaikan harga rumah menerusi konsep bina dan jual tidak boleh
dielakkan kerana ia berkaitan dengan kos dan risiko tinggi yang terpaksa
ditanggung pemaju.
"Peningkatan harga rumah menerusi konsep ini mengambil kira lokasi, jenis
rumah keupayaan kewangan pemaju yang membabitkan kos faedah bank yang
terpaksa ditanggung sepanjang tempoh pembinaan.
"Namun, Rehda ingin menegaskan bahawa kenaikan harga rumah menerusi konsep
ini tidak akan menyebabkan peningkatan sehingga 100 peratus sebaliknya hanya
antara 30 hingga 50 peratus bergantung kepada lokasi, jenis rumah dan kos
pegangan ditanggung pemaju;' katanya.
Rehda berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa konsep bina dan jual bukan sesuatu
yang diwajibkan untuk mana-mana pihak tetapi satu pilihan kepada pemaju dan
pembeli rumah.
Najib berkata, pemaju dan pembeli mempunyai pilihan menggunakan sistem baru
berasaskan konsep bina dan jual atau menggunakan amalan sedia ada.
Ng berkata, peratusan kenaikan adalah berdasarkan kajian yang dijalankan
persatuan selepas kerajaan meminta maklum balas mengenai konsep itu ketika
ia mula-mula dicadangkan.
Rehda turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan mahu
memperkenalkan konsep bina dan jual atau 10/90 bersama dengan konsep jual
dan bina yang diamalkan kini.
Katanya, dengan adanya pilihan, industri perumahan akan dapat dijana dengan
lebih baik dan menjadi pemacu dalam ekonomi negara.
Sementara itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengalu-alukan
konsep pembinaan rumah bina dan jual yang dijalankan serentak dengan
pelaksanaan jual dan bina seperti yang diamalkan ketika ini.
ABM dalam kenyataannya berkata, bank akan memberi sokongan dan membantu
industri perumahan dan sentiasa menyalurkan pinjaman kepada projek yang
berdaya maju berdasarkan kepada penilaian kredit biasa. |