Akta pemaju dipinda lagi
20/07/2006
Berita Harian Oleh Hidayah Mohammad
Tumpu dasar bina, jual rumah: Ong
KUALA LUMPUR: Akta Pemaju Perumahan 2002 akan dipinda sekali lagi untuk
menggantikan Sijil Layak Menduduki (CFO), sekali gus membolehkan pelaksanaan
dasar bina dan jual dalam urusan jual beli rumah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata
cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet terlebih dulu sebelum
dibentangkan di Parlimen pada September ini.
Katanya, pindaan sebelum akhir tahun ini juga akan memasukkan beberapa
perkara baru untuk menambah bidang kuasa Tribunal Perumahan serta
membolehkan Tribunal Tuntutan mengendalikan kes bernilai sehingga RM50,000.
“Beberapa akta lain dalam kementerian juga akan dipinda bagi menjadikan akta
ini lebih lengkap dan menjamin semua pihak, terutama pembeli sekali gus
melaksanakan dasar baru itu yang diputuskan baru-baru ini,” katanya selepas
menyampaikan hadiah Anugerah 10 Pemaju Hartanah 2006, di sini malam tadi.
Antara penerima anugerah berkenaan ialah Presiden Dunia bagi Persekutuan
Hartanah (Fiabci) Asia Pasifik, Datuk Alan Tong Kok Mau; Presiden FIABCI-Malaysia,
Datuk Teo Chiang Kok; Timbalan Presidennya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar;
bekas Presiden Persatuan Perumahan dan Pemaju Hartanah (Rehda), Datuk
Jeffrey Ng dan Setiausaha Agung Fiabci Asia Pasifik, Kumar Tharmalingam.
Anugerah diberikan kepada 10 pemaju terbaik yang menjadi antara senarai
tangga teratas oleh akhbar perniagaan, The Edge.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata
kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemaju perumahan menjual rumah
hanya selepas ia siap sekurang-kurangnya 90 peratus bagi memberi lebih
perlindungan kepada pembeli serta mengelak projek terbengkalai.
Sebelum ini, Ong berkata, kira-kira 90 peratus pemaju masih tidak bersedia
melaksanakannya kerana kebanyakannya tidak mempunyai modal besar dan
memerlukan pembeli untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan bagi
melaksanakan projek.
Sejak 2004 kerajaan menggalakkan pemaju mengadakan konsep 'bina dan jual'
dengan memberi beberapa insentif.
Beliau juga berkata, kementerian berharap pemaju akan menggunakan dasar itu
selepas ia digubal sepenuhnya bagi menjamin kepentingan pembeli serta
menyokong dasar kerajaan. |