Untung tetapi beretika
Utusan Malaysia 6/6/2006
EPISOD malang yang menimpa penduduk di Kampung Pasir Hulu Klang sehingga
meragut empat nyawa mengundang persoalan dan persepsi. Sesuatu yang tidak
dapat dibendung ialah kecenderungan orang ramai untuk membuat pelbagai
persepsi bahawa semacam berlaku sesuatu yang tidak kena sama ada kepada
mereka yang bertanggungjawab meluluskan atau memantau sebarang projek
dilaksanakan.
Namun tidak ada siapa yang boleh menahan orang ramai untuk membuat persepsi
kerana mereka memang berhak. Orang ramai akan mula berkata apa yang telah
berlaku dengan sistem penguatkuasaan - Jabatan Alam Sekitar (JAS) misalnya,
adakah mereka begitu cuai atau sengaja menutup mata sehingga sebuah syarikat
yang mengaut keuntungan sewenang-wenangnya selama sepuluh tahun sedangkan
penduduk sekitarnya dinafikan kesejahteraannya.
Bagaimana pula dengan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam meluluskan
sesuatu projek perumahan yang tidak habis-habis dengan masalah struktur
pembinaan yang tidak selamat seperti retak di sana sini dan juga perparitan
yang tidak sempurna.
Adakah pemantauan telah dilakukan dengan sewajarnya? Orang ramai akan terus
membuat persepsi selagi persoa- lan kepada kejadian demi kejadian yang
berlaku sekarang ini tidak diberikan jawapannya dan mereka yang terbabit
dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Rumah-rumah retak dan tidak selamat didiami, insiden seorang penghuni yang
nyaris menjadi mangsa dihempap tangki air akibat struktur binaan tidak kukuh,
isu pencemaran air mengandungi ammonia dan banjir yang melanda Shah Alam
sebenarnya membawa mesej bahawa mereka yang terbabit tidak menjadikan
keselamatan dan kepentingan orang ramai dalam agenda perniagaan mereka.
Golongan yang meletakkan ‘segala-galanya keuntungan’ sebenarnya menjadi
punca kepada beberapa kejadian yang tidak diingini sejak akhir-akhir ini.
Kejadian-kejadian ini mungkin dapat dielakkan sekiranya pihak berwajib lebih
bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan amanah yang telah diberikan.
Malangnya, atas nama perniagaan, golongan ini dilihat lebih sibuk memikirkan
soal keuntungan daripada kepentingan orang ramai.
Tanggungjawab sosial yang sepatutnya mereka laksanakan bukan sahaja gagal
diterjemahkan malah lebih banyak mengundang padah daripada memberi manfaat.
Insiden menyayat hati yang mengorbankan empat sekeluarga akibat tanah runtuh
itu mencerminkan kerakusan golongan ini.
Bahawa kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada struktur binaan tembok
yang rapuh dan tidak mengikuti spesifikasi dibina bagi menghalang tanah
runtuh seolah-olah menggambarkan bahawa wang ringgit lebih penting daripada
nyawa orang ramai.
Kerakusan
Apa salahnya dibina tembok yang lebih kukuh, atau sebelum projek perumahan
dimulakan dahulu telah difikirkan semasak-masaknya kesan yang mungkin
terjadi kepada penduduk sekitar yang lebih dahulu mendiami kawasan tersebut.
Namun, apa yang berlaku dalam dunia perniagaan hari ini soal etika bukanlah
penting sangat kalau hendak dibandingkan dengan kerakusan untuk mengecap
keuntungan yang berlipat ganda yang sekali gus mengabaikan kepentingan malah
nyawa orang ramai.
Persoalan antara etika dan keuntungan memang sudah lama didebatkan. Mereka
yang terbabit dalam dunia perniagaan khususnya tersepit antara dua kehendak
yang amat mendesak ini.
Kalau terlalu berpegang sangat kepada etika - melaksanakan tanggungjawab
secara beretika dan bermoral dan tidak menjadikan orang ramai sebagai
mangsanya adakalanya akan menjerumuskan mereka kepada kerugian. Sebaliknya,
terlalu mementingkan keuntungan sehingga sampai mengabaikan etika padahnya
akan dirasai oleh orang ramai pula!
Sebenarnya kita sebagai manusia adalah makhluk yang bermoral dan beretika.
Kepentingan untuk beretika lebih nampak relevannya apabila dikaitkan dengan
dunia perniagaan, lebih-lebih lagi dengan bentuk perniagaan yang dilihat
mengalami perubahan yang besar dewasa ini.
Kepentingan untuk beretika dalam perniagaan memang tidak dapat disangkal
lagi malah mendapat perhatian semua pihak bukan sahaja golongan akademik,
pengguna, pekerja dan juga orang ramai.
Menurut Sayyid Fayyaz Ahmad (2001), sebarang bentuk perniagaan yang
mengabaikan soal etika dan mengetepikan aspek moral hanya akan membawa padah
kepada masyarakat umumnya.
Kenyataan serupa ini bukan tidak berasas kerana suatu ketika dulu kita
pernah digemparkan dengan insiden kebocoran gas di Bhopal India yang telah
mengorbankan banyak nyawa ekoran daripada tindakan mereka yang tidak
beretika malah melihat keuntungan mengatasi kepentingan orang ramai.
Di negara kita sendiri, insiden-insiden terbaru seperti tanah runtuh itu
membuka mata kita betapa golongan peniaga ini tidak meletakkan etika sebagai
landasan tindakan mereka.
Kerakusan untuk membolot keuntungan membuatkan mereka lupa kepada nyawa
manusia.
Demi keuntungan, mereka lebih rela melihat nyawa orang ramai menjadi
taruhannya daripada melaburkan sejumlah wang untuk satu bentuk perniagaan
yang bukan sahaja menguntungkan mereka tetapi pada masa sama orang ramai
tidak dinafikan keselamatan dan kesejahteraannya.
Tragedi tanah runtuh mungkin dapat dielakkan sekiranya pihak pemaju lebih
beretika dengan membina tembok penahan runtuhan yang lebih kukuh yang
mungkin lebih besar kosnya tetapi orang ramai tidak menjadi mangsanya.
Kejadian rumah retak dan sebagainya boleh sahaja tidak berlaku sekiranya
pihak yang diberikan tanggungjawab untuk meluluskan dan seterusnya memantau
sebarang projek perumahan lebih beretika dalam memikul amanah diberikan.
Kecenderungan yang dilihat sekarang bahawa manusia sudah semakin tidak
gentar dengan undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka menuntut
keperluan untuk beretika lebih-lebih lagi mendesak ketika ini.
Hukuman denda yang menjangkau ratusan ribu ringgit tidak lagi menjadi
senjata yang cukup kuat untuk membendung mereka yang bertindak melewati
batas undang-undang.
Kalau ada pun penguatkuasaan, mungkin sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja
ataupun sekadar melepas batuk di tangga.
Bagi peniaga pula, keuntungan yang mereka peroleh mungkin boleh mengatasi
denda yang perlu dibayar kerana melanggar satu undang-undang!
Apa yang berlaku di depan mata kita kini semacam memberi gambaran bahawa
undang-undang dan peraturan yang sedia ada tidak berupaya untuk menyekat
manusia daripada melakukan tindakan yang membawa mudarat kepada orang lain.
|