Taman Supreme diancam tanah
runtuh
Berita Harian 12/6/2006
KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Supreme, Cheras di sini dirundung kebimbangan
berdepan bahaya tanah runtuh di tebing bukit berhampiran rumah mereka
lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang sering hujan kebelakangan ini.
Penduduk terutama di Jalan 1/98 kawasan perumahan itu tidak dapat tidur lena
kerana gusar jika tebing bukit yang jaraknya hanya kira-kira 30 meter dari
rumah mereka menyembah bumi.
Malah, kejadian pokok dari atas bukit yang menghempap kereta ketika hujan
lebat baru-baru ini turut menghantui penduduk yang bimbang keselamatan dan
nyawa terancam, terutama kanak-kanak.
Pengarah Pusat Perkhidmatan MCA Bahagian Cheras, Dr Jeffrey Goh, berkata
kejadian terbaru yang berlaku pada awal bulan ini turut menyebabkan sistem
perparitan di situ lumpuh.
Katanya, akibat runtuhan tanah bukit, longkang berhampiran dipenuhi tanah
sekali gus menyekat pengaliran air lalu menyebabkan berlakunya banjir
apabila limpahan air hujan tidak dapat mengalir baik melalui longkang.
“Apa yang paling dibimbangkan ialah keselamatan kanak-kanak kerana kita
tidak tahu bila bala menimpa. Mungkin ketika mereka sedang asyik bermain,
berlaku kejadian tanah runtuh lalu menyebabkan kemalangan atau kehilangan
nyawa.
“Oleh itu, kami meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil
langkah segera bagi mengatasi masalah ini sebelum sebarang kejadian buruk
berlaku.
“Penduduk juga meminta DBKL membina penghadang konkrit dengan segera yang
boleh menampung kedudukan tanah bukit dari runtuh,” katanya yang ditemui
ketika melawat lokasi tanah runtuh itu baru-baru ini.
Turut hadir ialah wakil DBKL dan Alam Flora.
Sementara itu, suri rumah, Maziah Jaafar, 56, yang sudah lebih 20 tahun
menetap di situ berharap DBKL dapat menyegerakan kerja membina penghadang
bukit di situ.
“Saya takut juga jika kanak-kanak leka bermain dan pokok tumbang secara
tiba-tiba. Ia akan membahayakan nyawa mereka. Penduduk juga semakin bimbang
melepaskan anak untuk keluar rumah.
“Selain itu, keadaan longkang yang tersumbat setiap kali berlakunya tanah
runtuh bukan saja menyebabkan rumah kami dilanda banjir, tetapi juga
menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes kerana longkang tidak mengalirkan air
dengan betul,” katanya.
Dr Jefrey berkata, penduduk turut meminta Alam Flora menjalankan kerja
pungutan sampah mengikut jadual kerana kelewatan memungut sampah menyebabkan
pelbagai masalah terutama membabitkan keselesaan dan kesihatan penduduk.
“Apabila sampah lewat dikutip, penduduk terpaksa menghidu bau kurang
menyenangkan dan apabila hujan, sampah yang tidak dikutip mengalir mengikut
arus dan ini boleh mengundang penyakit.
“Sampah juga bukan saja sisa buangan, tetapi juga kaca dan kayu. Jika
kanak-kanak bermain di sekitar kawasan itu, maka ia pasti membahayakan,”
katanya. |