Rumah tak siap, gaji kena
potong
Berita Harian 23/6/2006
Pembeli perumahan kos rendah Taman Bidara Palma kesal kegagalan pemaju
siapkan projek
MELAKA: Seramai 81 daripada 101 pembeli rumah kos rendah di Taman Bidara
Palma, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, dekat sini, kesal dengan kegagalan
pemaju projek menyiapkan rumah berkenaan yang sepatutnya sudah diserahkan
tiga tahun lalu.
Projek perumahan itu yang mula dibina pada 2001 dijadualkan siap pada 2003,
namun hingga sekarang ia belum dapat disiapkan sepenuhnya. Hanya 20 rumah
yang sudah siap dan diserahkan kepada pembeli.
Keadaan ini menyebabkan 81 pembeli terbabit terpaksa menanggung bebanan
hutang yang tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup.
Sentral diberitahu, syarikat yang sepatutnya menyiapkan projek berkenaan
pada 2003 menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan ia bertukar
tangan sebanyak tiga kali.
Pembeli, Abd Halim Hassan, 31, kecewa dengan sikap pemaju sebelum ini yang
menjanjikan rumah berharga RM35,000 ke atas itu pasti akan siap mengikut
tempoh, tetapi janji hanya tinggal janji.
Katanya, sampai bila dia dan pembeli lain mesti menunggu sedangkan mereka
sudah membuat pembayaran rumah menerusi potongan gaji bulanan masing-masing.
"Bagi anggota kerajaan pemotongan boleh dikatakan rendah, tetapi yang
membuat pinjaman melalui institusi kewangan sudah pasti peratus pemotongan
adalah lebih tinggi dan ia pasti membebankan.
"Sedihnya, sebahagian pembeli berpendapatan kecil atau sederhana kerana
bekerja sebagai pekerja kilang, bekerja sendiri atau pesara," katanya.
Beliau berkata, rumah lot tepi yang dibelinya dengan harga RM40,000
sepatutnya siap pada 2003 tetapi sehingga kini masih belum siap.
Abdul Halim berkata, sehingga sekarang dia terpaksa menyewa rumah lain
dengan sewa RM200 sebulan, di samping terpaksa menjelaskan bayaran pinjaman
rumah yang belum siap itu RM282 sebulan.
"Sampai bila saya harus menunggu dan menanggung masalah ini. Saya ingin
tinggal di rumah sendiri yang lebih selesa bersama isteri dan dua anak kecil
saya," katanya.
Katanya, pembinaan rumah kos rendah terbabit sudah siap lebih 85 peratus dan
hanya tinggal beberapa kerja perlu diselesaikan seperti memasang cermin
tingkap, daun pintu, paip sinki serta sistem pendawaian elektrik.
"Bagi mengurangkan masalah, saya merayu pihak bertanggungjawab iaitu Majlis
Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan CF sementara supaya pembeli dapat
masuk dan tinggal di rumah yang mereka beli secepat mungkin.
"Saya juga meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya membantu
menyelesaikan masalah kami di sini. Sudah banyak mesyuarat dan pertemuan
dibuat antara ahli jawatankuasa bertindak bersama pemaju serta Yang
Berhormat (YB) kawasan Tanjung Bidara, tetapi sehingga sekarang tidak
selesai juga," katanya.
Pesara, Khamarudin Othman, 45, berasa bosan kerana pemaju asyik berjanji
dari sebulan ke sebulan bahawa rumah berkenaan akan mendapat CF dan boleh
diduduki.
Beliau yang kini terpaksa menumpang di rumah mentuanya di Kampung Balik Batu,
berkata berdasarkan pelaksanaan kerja dilakukan pemaju, tidak dapat
dipastikan bila projek berkenaan boleh siap sepenuhnya.
"Kadang-kadang saya tengok ada pekerja yang membuat kerja tetapi ada
ketikanya tiada orang yang bekerja. Kerja yang dilakukan amat perlahan...
jadi bilalah rumah kami nak siap," katanya.
Warga emas, Mohd Rahim Md Isa, 56, berkata pada awalnya pemaju memaklumkan
mereka boleh masuk pada Febuari lalu tetapi sehingga kini tidak juga di
berikan kunci rumah.
"Mereka hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati," katanya. |