This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rehda sambut baik konsep baru jual rumah

Utusan 24/06/2006


KUALA LUMPUR 23 Jun - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Malaysia hari ini menyambut baik langkah adil kerajaan yang memutuskan untuk memperkenalkan konsep ‘bina kemudian jual’ atau lebih dikenali sebagai konsep 10:90, selari dengan skim bayaran berperingkat yang sedia ada.

Presidennya Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata persatuan itu sentiasa berpendapat bahawa pengenalan kepada konsep bina kemudian jual atau sebarang konsep jua, perlu digerakkan oleh permintaan pasaran dan dibenarkan wujud selari dengan skim bayaran berperingkat yang sedia ada.

“Kami lega apabila kerajaan memberi perhatian terhadap pandangan kami untuk membenarkan sistem baru dan sedia ada dilaksanakan secara selari. Kami ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan pelbagai insentif untuk menarik minat pemaju melaksanakan konsep baru itu,” menurut Ng dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara insentif yang dicadangkan untuk ditawarkan oleh kerajaan kepada pemaju yang memilih sistem baru itu adalah proses-proses kelulusan mungkin dapat dipercepatkan dan pengecualian deposit RM200,000 untuk memohon setiap lesen pembinaan yang diperlukan.

Bagaimanapun Ng berkata di bawah konsep baru itu, pihak bank dan institusi kewangan perlu memainkan peranan lebih penting bagi memastikan projek-projek di bawah skim baru itu dapat dibiayai secukupnya.

“Rehda berharap pihak bank dan institusi kewangan akan memberikan sokongan penuh dan komitmen untuk menjayakan konsep baru ini,” katanya dan menambah bahawa persatuan itu akan mengadakan dialog dengan anggotanya dan memantau pelaksanaan konsep itu bagi tempoh dua tahun.

Menurutnya Rehda juga merancang untuk memberikan maklum balas kepada kerajaan tentang pelaksanaan konsep baru itu.

Konsep bina kemudian jual itu pertama kali dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004 bagi meringankan beban yang terpaksa dipikul pembeli rumah sebelum rumahnya disiapkan.

Ekoran cadangan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting mengetuai satu pasukan dari kementerian berkenaan mengadakan lawatan ke Australia untuk mengkaji konsep yang serupa, dan mencadangkan konsep bina kemudian jual untuk dilaksanakan.

Di bawah konsep itu, pembeli rumah membayar 10 peratus sebaik sahaja mereka menandatangani perjanjian jual dan beli, yang akan disimpan oleh satu pihak, dan pemaju akan membina rumah, manakala 90 peratus lagi bayaran dibuat kemudiannya sebaik sahaja rumah itu disiapkan.

Apabila rumah-rumah itu sudah disiapkan lengkap dengan Sijil Layak Menduduki, pemaju kemudiannya boleh mengutip bayaran 10 peratus termasuk faedah yang terakru, dan pembeli akan mula membayar baki 90 peratus lagi.

Bagaimanapun pemaju-pemaju perumahan sebelum ini menyuarakan bantahan mereka sekiranya konsep tersebut diwajibkan, semasa ramai kalangan pembeli rumah menyokongnya.

Pihak pemaju menegaskan bahawa konsep itu tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia disebabkan “suasana persekitaran” yang berbeza dengan negara luar.

Contohnya di Malaysia pihak pemaju memberi subsidi kepada projek-projek rumah kos rendah, membuat kerja-kerja membina infrastruktur dan mematuhi beberapa kriteria seperti pembabitan bumiputera, sedangkan di Australia, tempat tercetusnya konsep itu, pemaju tidak berhadapan dengan isu-isu berkenaan.

Kebimbangan juga berkisar kepada kemungkinan konsep itu akan memusnahkan pemaju-pemaju perumahan bermodal kecil, meninggalkan hanya syarikat-syarikat besar menerajui sektor tersebut, dan ada juga pihak yang merumuskan bahawa harga rumah akan naik 30 hingga 50 peratus jika konsep itu diwajibkan.

- Benama
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.