Perjelas status tanah runtuh
Berita Harian 7/6/2006
HULU KLANG: Penduduk Kampung Pasir, di sini yang menjadi mangsa kejadian
tanah runtuh 30 mei lalu dan mengorbankan empat nyawa meminta Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat keputusan segera mengenai status
kawasan itu.
Penduduk yang bimbang kejadian sama berulang mahu MPAJ tidak berlengah dalam
memberi gambaran jelas mengenai status tanah dan kawasan itu sama ada
selamat untuk didiami atau perlu berpindah.
Ketua Kampung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Mohd Razi Ayop,
berkata penduduk mahukan kata putus berikutan bimbang dengan keselamatan
mereka jika tanah yang strukturnya goyah dan longgar itu runtuh sekali lagi.
“Apa yang dilakukan MPAJ kini hanyalah memantau keadaan dan meletakkan
penduduk dalam keadaan berjaga-jaga. Bagaimana jika tanah itu runtuh sekali
lagi lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca kebelakangan ini yang sering hujan,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau juga berkata, lebih 80 keluarga mangsa tanah runtuh yang sudah
berpindah ke penempatan sementara disediakan pemaju reda dengan hakikat
rumah mereka telah lenyap dan berusaha untuk memulakan hidup baru.
Beliau berkata, walaupun tiada sebarang pampasan sama ada daripada tuan
tanah atau pihak berkuasa tempatan, mereka yang terbabit pasrah dengan nasib
yang menimpa mereka.
Mohd Razi berkata, baki lebih 20 keluarga yang masih tinggal di pinggir
kawasan runtuhan juga sudah diberikan notis berpindah oleh MPAJ selepas
kawasan itu didapati tidak selamat.
Bagaimanapun, katanya penduduk terbabit enggan menurut arahan berpindah
kerana tidak mampu menanggung kos mencari kediaman baru, tambahan pula
kawasan sedia ada sudah menjadi kampung halaman mereka sejak beberapa
generasi.
Mohd Razi berkata, penduduk kampung juga menubuhkan jawatankuasa khas untuk
memantau sebarang pergerakan tanah, terutama pada waktu malam
Sementara itu tinjauan Berita Harian di Taman Zooview mendapati, kawalan
keselamatan anggota penguat kuasa MPAJ diperketatkan di setiap pintu masuk.
Enam belas rumah di situ yang sebahagiannya ‘tergantung’ selepas cerun tanah
di belakang rumah runtuh Rabu lalu, juga dikosongkan.
Pemaju yang sebelum ini menawarkan 16 pemilik kediaman itu sebanyak 20 bilik
di Hotel Flamingo, dekat sini sebagai penempatan sementara selepas mereka
diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing juga bersetuju melanjutkan
tempoh penempatan itu yang sepatutnya berakhir semalam tetapi dilanjutkan
seminggu lagi.
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad ketika dihubungi, berkata
pihaknya memanggil pemaju terbabit berikutan mangsa mengadu terpaksa keluar
hotel kerana tempoh berakhir semalam. |