Penghuni Sri Ukay, Hillview
bimbang
Berita Harian 5/6/2006
KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Sri Ukay dan Hillview dekat sini, yang sebelum
ini menyaksikan dua kejadian tanah runtuh meragut 56 nyawa sejak 1993, hidup
dalam kebimbangan kerana masih berlaku kejadian tanah runtuh di sekitar
kawasan berkenaan.
Kebimbangan mereka semakin memuncak selepas tragedi tanah runtuh di Kampung
Pasir berhadapan Taman Zooview, Hulu Klang, yang terletak kira-kira 1.5
kilometer (km) dari perumahan mereka.
Seorang penduduk meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat
kajian menyeluruh keselamatan kediaman mereka berikutan pergerakan tanah
didakwa berlaku di sekitar termasuk Bukit Antarabangsa dan Taman Hillview.
Seorang penduduk, Nik Nafizal Nik Najib, 30, melahirkan kebimbangan itu
berikutan masih ada projek pembangunan dilaksanakan di kawasan sekitar.
Katanya, walaupun tiada projek pembangunan di lereng bukit berdekatan Taman
Sri Ukay dan Taman Hillview, pembangunan projek di sekitar boleh menyebabkan
kawasan kediaman mereka terjejas.
“Pembangunan di kawasan cerun bukit di Hulu Klang sepatutnya diberhentikan
selepas beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, MPAJ mengambil langkah proaktif bagi mengelak bencana di
kawasan terbabit dengan melaksanakan pembinaan dan menaik taraf tembok
penahan di Taman Hillview, berhampiran dua blok kondominium Highland Towers
yang mana satu menara tumbang pada 1993.
Kerja di lereng bukit itu giat dilakukan pihak berkaitan bagi mengukuhkan
cerun berkenaan.
Yahya Mokhtar, 74, yakin tembok penahan itu mampu mengelakkan tragedi tanah
runtuh seperti yang berlaku sebelum ini.
Tragedi pada 11 Disember 1993 menyaksikan Blok A pangsapuri 12 tingkat
tumbang dan mengorbankan 48 nyawa manakala sembilan tahun kemudian, 300
meter dari kondominium Highland Towers, kejadian sama meranapkan banglo
milik bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar
sehingga mengorbankan enam ahli keluarganya dan dua pembantu rumah. |