Penduduk Taman Segar bimbang
tanah runtuh
Utusan Malaysia 6/6/2006
KUALA LUMPUR 5 Jun - Lebih 100 penduduk Taman Segar, dekat sini berada dalam
kebimbangan apabila tanah di kawasan perumahan mereka didapati terus mendap
setiap hari.
Menurut mereka, keadaan akan menjadi lebih teruk apabila musim hujan kerana
ia akan menghakis tanah di cerun bukit.
Pengarah Pusat Perkhidmatan MCA Bahagian Cheras, Dr. Jeffrey Goh Sim Ik
berkata, tanah di cerun bukit juga mengalami rekahan serius sementara
longkangnya mendap dan retak teruk.
Beliau berkata, longkang kecil yang berusia kira-kira 20 tahun di Taman
Segar tidak mampu menampung kuantiti air yang banyak dari Bukit Segar.
Oleh itu katanya, untuk jangka pendek longkang tersebut akan dinaik taraf
bagi mengelakkan banjir.
"Ia akan dilebar dan didalamkan supaya aliran air hujan lebih lancar sekali
gus mengelakkan kejadian banjir serta tanah runtuh.
“Saya fakir menampal simen di bahagian yang retak tidak memadai sama sekali
untuk jangka masa pendek dan kembali retak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memantau keadaan tanah dan longkang di
kawasan perumahan Jalan Manis, Taman Segar, di sini kelmarin.
Tambah Jeffrey, satu tembok penghalang akan dipasang di sepanjang lopgkang
itu bagi memastikan keselamatan penghuni terutamanya kanak-kanak yang keluar
berjalan atau berjoging.
Dalam pada itu, Pembantu Teknikal Jabatan Kerja Awam, Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (JKA-DBKL), Manuel Jevaraj memberitahu, pihaknya akan memulakan kerja
dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi.
Sementara itu, seorang penduduk, Lee Fong Thye berkata, beliau mahu tindakan
segera dilakukan bagi memastikan keselamatan penghuni di kawasan perumahan
berkenaan.
"Walaupun pegawai DBKL telah dua kali ke tempat kejadian tetapi mereka hanya
datang tengok tanpa kelihatan ada tindakan susulan yang sewajarnya.
"Jadi saya memaklumkan masalah ini terus kepada MCA kerana risau hakisan
tanah di cerun bukit dan longkang akan bertambah serius," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Liew Swee Keong, 42, berkata hakisan tanah
dipercayai berlaku ekoran pembangunan yang masih dijalankan di Bukit Segar.
"Jika longkang tidak disiap dengan segera, berkemungkinan kami akan
menghadapi tanah runtuh atau banjir lumpur.
"Selain itu sekumpulan monyet dan hutan berdekatan juga kerap berkeliaran
dikediaman penduduk sehingga mengganggu dan merosakkan harta benda," katanya.
|