Pemaju cuai aspek
penyelenggaraan
Kosmo 19/6/2006
PULAU PINANG - Kebimbangan ribuan penduduk di blok 7, Flat Taman Sri Bayu,
Bayan Lepas di sini nyata berasas apabila satu lagi insiden membabitkan
nyawa penduduk ekoran kealpaan pihak pemaju.
Terbaru, enam sekeluarga yang tinggal di tingkat enam nyaris maut apabila
sebuah kotak fius elektrik yang terletak di depan pintu rumah meletup dan
terbakar kira-kira pukul 2 petang kelmarin.
Fauziah Zain, 36, yang kebetulan bersama keluarganya baru pulang dari sebuah
pasar raya menyedari sesuatu tidak kena berlaku apabila terhidu bau hangit
yang kuat sebelum membuka pintu rumahnya.
"Saya arahkan anak-anak duduk di tangga sampil mencari dari mana datangnya
bau tersebut bersama suami.
"Bagaimanapun, waktu berpatah balik ke arah tangga yang terletak cuma
beberapa kaki daripada kotak fius terbabit, satu letupan kuat berlaku,"
katanya.
Letupan tersebut disusuli api yang membakar kotak fius terbabit.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk, Mat Pozian Rashid berkata,
punca kebakaran itu masih menjadi teka teki.
"Tenaga Nasional Berhad (TNB) kata bukan kesilapan mereka sebaliknya, ia
dipercayai kecuaian pihak pemaju dan perkara ini amat dikesali kerana
penduduk membayar wang perkhidmatan penyelenggaraan setiap bulan," tegasnya.
|