This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju, konsultan wajib sedia EIA sendiri

Utusan 07/06/2006


PUTRAJAYA 6 Jun - Kerajaan mungkin mewajibkan syarikat pemaju dan konsultan menyedia serta meluluskan sendiri laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) ke atas projek- projek yang ingin dibangunkan.

Mereka juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku sesuatu kejadian atau tragedi yang tidak diingini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, langkah tersebut bertujuan mengupayakan (empower) semua konsultan yang dilantik oleh syarikat pemaju agar dapat bertanggung jawab ke atas EIA yang disediakan.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada dasarnya menyokong cadangan itu dan ia adalah antara perkara-perkara yang akan dimasukkan dalam pindaan Akta Kawalan Alam Sekitar 1974 tidak lama lagi.

‘‘Dengan kata lain, sekiranya cadangan berkenaan diterima, pemaju dan konsultan akan menyedia dan meluluskan sendiri EIA masing-masing tetapi sekiranya berlaku apa-apa mereka mesti bertanggungjawab dan dikenakan denda dan hukuman berat termasuk penjara mandatori.

‘‘Selama ini kita dapati banyak sangat tuduhan dilemparkan ke atas Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meluluskan EIA, setiap kali berlaku sesuatu kejadian.

‘‘Tuduhan yang sama dikenakan ke atas majlis tempatan atau majlis daerah yang meluluskannya walhal sepatutnya tanggungjawab terus kepada pihak yang memajukan dan pihak perunding profesional terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di sini hari ini.

Semalam kementerian tersebut merumuskan kejadian tanah runtuh di sekitar Hulu Klang termasuk di Kampung Pasir minggu lalu berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi garis panduan pembangunan tanah tinggi.

Menurut Azmi lagi, dengan cara itu juga semua permohonan untuk kelulusan alam sekitar tidak lagi perlu menunggu lama kerana selama ini pemaju kerap kali mengadu kelulusan EIA mengambil masa setahun atau dua tahun.

JAS pula katanya, tidak akan membuat kajian yang terlalu mendalam ke atas laporan berkenaan kerana ia memakan masa, sebaliknya akan memantau bagi memastikan projek pembangunan yang dijalankan itu tidak menjejaskan alam sekitar.

‘‘Kita akan tentukan apa yang tak boleh dilakukan yang menjejaskan alam sekitar dan sesiapa sahaja yang buat sesuatu yang jejaskan alam sekitar akan dikenakan tindakan, '' tegasnya.

Menurutnya, pendekatan yang sama telah dimulakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pendaftar Syarikat dan didapati berkesan.

Antara cadangan lain kata beliau, ialah apa sahaja pembangunan tidak kira di kawasan seluas mana perlu menyediakan laporan EIA berbanding peraturan sekarang yang mewajibkan pembangunan meliputi kawasan seluas 50 hektar ke atas sahaja perlu dirujuk kepada JAS.

Perdana Menteri juga menurut Azmi mahu JAS lebih tegas dalam sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan yang melibatkan alam sekitar termasuk penjara mandatori bukan sahaja ke atas syarikat terlibat tetapi juga mereka di belakang syarikat itu sendiri.

‘‘Walaupun akta memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 tetapi apabila ke mahkamah mereka hanya dikenakan denda RM5,000 sahaja dan pihak yang melakukan kesalahan dengan ‘senyum’ ke bank, menjelaskan denda berkenaan,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.