Nyawa bukan taruhan pembinaan
taman perumahan
Utusan Malaysia 5/6/2006
‘‘Segala bala ini adalah balasan bumi kepada perbuatan zalim manusia yang
diperlihatkan oleh Ilahi. ‘‘Tabiat buruk manusialah yang menjadi pencetus
kepada bala yang mungkin terpaksa kita hadapi. Aktiviti membalak yang
berlebihan, pencerobohan ke kawasan tadahan air, kerakusan manusia yang
tamak kebendaan, perbuatan membuang sampah sarap ke sungai dan longkang,
adalah antara puncanya.
‘‘Tuhan telah merahmatkan bumi ini dengan hujan sepanjang masa dan
sungai-sungai yang mengalir dari bukit ke lembah. Insaflah akan betapa
perlunya anugerah Ilahi ini dihormati dan dipelihara baik.”
Itulah sebahagian daripada peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia KeSembilan (RMK-9).
Abdullah membuat peringatan itu, hampir tiga bulan lalu tetapi hari ini apa
yang dikhuatirkan oleh Perdana Menteri sudah berlaku.
Tanah runtuh di Kampung Pasir, Hulu Klang yang mengorbankan empat orang,
pembuangan sisa-sisa toksik yang berleluasa dan pencemaran sungai yang
bertambah buruk membuktikan kita seolah-olah terlupa terhadap bencana yang
bakal menanti.
Sebenarnya, bencana bukanlah takdir, malapetaka tidak akan datang sendiri,
ia hanya berlaku apabila perbuatan kita yang mengundangnya.
Allah telah mengingatkan manusia mengenai perkara itu melalui firman-Nya
dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud;
Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan
sebab apa yang telah dilakukan tangan manusia, (timbulnya yang demikian)
kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf
dan bertaubat).
Manusia diseru berusaha dan bertawakal, bukannya menyerah bulat-bulat kepada
kehendak takdir, sebab itulah kerajaan mewujudkan pelbagai jabatan bagi
memastikan bencana itu tidak menjadi tetamu tidak undang.
Tetapi malangnya hari demi hari, masa demi masa, jabatan-jabatan terlibat
seolah-olah melupakan tanggungjawab masing-masing atau hanya menjalankan
tugas secara ala kadar sahaja.
Bencana di Kampung Pasir telah menjadi bukti bahawa sesuatu perlu dilakukan
untuk memastikan pihak-pihak yang berkenaan benar-benar serius menjalankan
tugas mereka.
Adalah sesuatu yang membosankan apabila berlaku sahaja bencana atau kes-kes
tertentu pihak-pihak yang terlibat memberi seribu satu alasan, seolah-olah
mereka tidak bersalah sama sekali.
Sedangkan jika diteliti, kelemahan penguatkuasaan menjadi faktor utama,
mereka tahu kilang haram wujud mereka tidak bertindak, mereka menyedari
pemaju melanggar peraturan mereka hanya memberi amaran, mereka diberitahu
ada syarikat tidak mematuhi undang-undang mereka diam.
Semua ini adalah kelemahan yang disebabkan oleh faktor manusia bukannya
suratan takdir. Atas sebab itulah Perdana Menteri, Khamis lalu mengingatkan
semua pihak berkuasa agar bertindak tegas dan bukan sekadar memberi amaran
sahaja terhadap pemaju yang melanggar peraturan berkaitan pembinaan di
kawasan tanah tinggi.
Peringatan Abdullah itu merangkumi semua kes yang semakin banyak menyaksikan
kelemahan ketara PBT dalam melakukan tindakan.
Adalah sesuatu yang sukar difahami apabila PBT yang kebanyakan begitu tegas
terhadap peniaga-peniaga kecil yang mencari sesuap nasi, seolah-olah tidak
melakukan apa-apa terhadap kilang, syarikat atau pemaju yang melakukan
kesalahan.
Apa yang berlaku sekarang tidak harus dibiarkan berterusan ketika kerajaan
sedang berusaha mewujudkan sebuah pentadbiran yang mempunyai integriti dan
kredibiliti.
Perubahan perlu dilakukan untuk memastikan pentadbiran PBT dan
jabatan-jabatan kerajaan lain benar-benar berwibawa serta tidak terus lemah
dalam penguatkuasaan sehingga memungkinkan nyawa manusia menjadi taruhan.
Segala tragedi, kes dan kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini
mendedahkan kepincangan di peringkat pentadbiran jabatan.
Lebih malang lagi, tuding-menuding turut berlaku. Menteri Besar salahkan
pemaju, jabatan kerajaan menyalahkan antara satu sama lain dan akhirnya
rakyat yang menjadi mangsa.
Sindrom bangau oh bangau ini tidak harus dibiarkan berterusan kerana hari
demi hari pelbagai kes melibatkan kehidupan rakyat berlaku.
Rakyat mengharapkan ketelusan jabatan kerajaan untuk melindungi kepentingan
mereka tetapi kalaulah jabatan kerajaan sendiri penuh dengan kepincangan,
apa akan terjadi? |