Minta Syabas pasang segera
meter air
Utusan 08/06/2006
KAMI adalah pembeli rumah yang dibangunkan oleh syarikat pemaju Lestari
Puchong Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembinaan yang dikendalikan oleh Europlus
Berhad iaitu satu lagi anak syarikat Talam Corporation Bhd.
Mengikut syarat perjanjian, rumah teres dua tingkat di kawasan Lestari
Puchong (berdekatan Pasar Borong Selangor) dijangka siap dua tahun selepas
perjanjian jual beli ditandatangani iaitu pada pertengahan 2005.
Bagaimanapun, kelewatan telah berlaku dan surat penyerahan kunci hanya
dikeluarkan pada Disember 2005. Namun sehingga kini, 24 unit rumah yang
dinyatakan masih belum boleh diduduki disebabkan meter air masih belum
dipasang oleh pihak Syabas.
Adalah difahamkan oleh pihak Talam Corporation, terdapat sedikit masalah
antara syarikat pemaju dengan pihak Syabas yang menyebabkan meter air tidak
dapat dipasang.
Apa yang menghairankan, Majlis Perbandaran Subang Jaya telah pun
mengeluarkan Sijil Layak Menduduki Sementara pada Disember 2005.
Di sini, saya ingin memohon pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah
yang dihadapi dan menyegerakan pemasangan meter air kami. Janganlah
disebabkan ada masalah antara pemaju dan pihak Syabas, maka kami pembeli
menjadi mangsa.
Sudahlah lewat menerima kunci, rumah yang dibeli masih tidak dilengkapi
dengan meter air. Yang menjadi tanda tanya kami, mengapa 24 unit meter air
sukar sangat dibekalkan?
Jika penghuni lambat menjelaskan bayaran bil air, pihak Syabas tidak
teragak-agak untuk memotong bekalan air. Dan buat pemaju, Talam Corporation,
jika pembeli lewat bayar, penalti dikenakan, tetapi apabila pemaju lewat
menyiapkan projek, pelbagai helah mereka gunakan.
- PEMBELI KECEWA, Lestari Puchong, Selangor.
|