Laman makin mendap
Berita Harian 5/6/2006
KUALA LUMPUR: Kedudukan 16 rumah di Taman Zooview berhadapan Kampung Pasir,
Hulu Klang, semakin terancam apabila tanah di cerun yang runtuh Rabu lalu
terus bergerak sehingga menyebabkan laman mendap dan struktur beberapa rumah
mulai rosak.
Berikutan keadaan tidak selamat itu dengan sebahagian balkoni dan ruang tamu
beberapa rumah dalam keadaan tergantung, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),
kelmarin mengeluarkan ‘notis mengosongkan bangunan berbahaya’ kepada
penghuni rumah berkenaan yang sudah dipotong bekalan elektrik.
Beberapa pegawai Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga kelihatan
melakukan kerja pengukuran di sekitar rumah berkenaan, termasuk cerun dan
kawasan runtuhan, manakala beberapa pekerja syarikat pemaju pula sekadar
menambah dan memperbetulkan plastik bagi menutup cerun yang runtuh.
Seorang penghuni rumah terbabit, Nurhuda Abdul Jamal, berkata kawasan laman
belakang rumahnya hampir lenyap apabila tanah cerun kian mendap dan runtuh.
Katanya, pergerakan tanah itu jelas kelihatan pada Khamis lalu apabila pasu
bunganya bergerak jatuh dan paras tanah mendap.
Semalam, semua kawasan laman yang tinggal selepas kejadian runtuhan itu
sudah mendap, manakala sebahagian bilik belakang rumah bersebelahan jelas
tergantung apabila tanah tapak binaan itu kian runtuh.
Nurhuda berkata, ketika beliau dan suaminya, Sharani Ahmad, menyewa rumah
itu dua tahun lalu, cerun selepas laman belakang rumahnya tidak curam, malah
batasan cerun jelas dilihat dan dipenuhi pelbagai pohon kayu.
Namun, katanya, keadaan itu bertukar sebaliknya apabila projek Taman Ukay
Bestari dimulakan dan batasan tanah semakin menghilang dan cerun pula
semakin curam manakala aduan pemilik rumah di kawasan itu kepada pihak
berkuasa berkenaan seolah-olah tidak diendahkan.
“Sayang, apa nak buat, rumah tidak lagi selamat,” katanya sambil menutup
pintu belakang untuk kali terakhir selepas selesai mengosongkan rumah yang
kini menghadap runtuhan tanah yang membunuh empat sekeluarga.
Seorang penduduk berhampiran, JS Daliwal, berkata pemaju Taman Ukay Bestari
itu patut dihukum dan setiap pemilik rumah yang terjejas diberi pampasan
sewajarnya oleh syarikat perumahan terbabit.
Katanya, MPAJ perlu menjelaskan kenapa ia membiarkan perbuatan pemaju
menarah cerun bukit itu berterusan sekian lama sehingga menyebabkan tragedi
itu.
“Saya tidak mahu menuding jari tetapi nyatakan kepada kami apa yang berlaku,”
katanya.
Ketika tinjauan Berita Harian tengah hari semalam, hanya seorang pegawai
MPAJ berkawal di situ dan satu lori tangki air ditempatkan di hujung lorong
untuk kegunaan penghuni terbabit
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk
Ahmad Shafii Saidin, berkata masih ada harapan untuk menyelamatkan 16 rumah
berkenaan daripada kemusnahan.
Katanya, alat pengesan pergerakan tanah sudah dipasang di kawasan itu petang
semalam dan kerja pemulihan akan dilakukan secepat mungkin selepas menerima
laporan dan cadangan pakar jawatan teknikal yang masih lagi menyiasat punca
tragedi.
“Harapan masih ada tetapi agak susah untuk dikatakan (dengan pasti),”
katanya.
Ditanya apakah memang ada pergerakan tanah, Ahmad Shafii berkata, sukar
untuk dipastikan kerana alat pengesan baru saja dipasang.
“Nasib baik hari ini tidak hujan, jika tidak tentu ada pergerakan tanah,”
katanya. |