Kerajaan kaji konsep ‘bina dan
jual’ rumah
Berita Harian 23/06/2006 Oleh Kadir Dikoh dan Shamshul Azree Samshir
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemaju perumahan
menjual rumah hanya selepas ia siap sekurang-kurangnya 90 peratus, bagi
memberi lebih perlindungan kepada pembeli serta mengelak projek terbengkalai,
kata Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini kerajaan akan meneliti konsep 'bina
dan jual' itu untuk tempoh dua tahun bermula sekarang, sebelum keputusan
sama ada ia akan dikuatkuasakan atau tidak, seterusnya meminda Akta Pemaju
Perumahan 2002, jika perlu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, buat masa ini dasar itu belum boleh
dilaksanakan sepenuhnya kerana mengambil kira pemaju projek perumahan kecil
dan sederhana mungkin gulung tikar.
Bagaimanapun katanya, mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan semalam
bersetuju pada dasarnya untuk memasukkan dasar baru dalam konsep 'bina dan
jual' itu dengan membenar pemaju mengutip 10 peratus harga jualan rumah dan
bakinya diselesaikan selepas rumah siap.
“Kita tidak mansuh sistem sedia ada... kita cuma jalan bersama (serentak).
Sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan bagi kerajaan menilai keberkesanan
konsep bina dan jual,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan
mesyuarat itu di sini, semalam.
Sejak 2004 kerajaan menggalakkan pemaju mengadakan konsep 'bina dan jual'
dengan memberi beberapa insentif.
Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka
Ting, sebelum ini menyatakan kira-kira 90 peratus pemaju di negara ini masih
tidak bersedia melaksanakannya.
Kebanyakan pemaju di negara ini tidak mempunyai modal besar dan mereka
memerlukan pembeli untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan bagi
melaksanakan sesuatu projek.
Ditanya apakah kerajaan akan mencontohi konsep yang diperkenalkan di Taiwan
iaitu hanya projek yang mencapai 90 peratus siap, baru diiklankan untuk
jualan, Najib berkata: “Kita tengok dulu. Hasrat kita ialah beri peluang
kepada pemaju pilih kalau kaedah itu lebih baik.”
Beliau berkata, sehingga ini keputusan itu hanya pada peringkat dasar saja
dan pelaksanaannya dibuat mengikut kesesuaian serta keperluan.
Najib berkata, pembahagian projek perumahan yang boleh ditawarkan mengikut
konsep 'bina dan jual' perlu dibuat mengikut faktor setempat dan permintaan.
Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat semalam juga bersetuju sebahagian
rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina untuk mengatasi masalah
setinggan, dijual berikutan banyak permohonan dan rayuan diterima.
“Kita terima banyak permohonan dan rayuan supaya penghuni diberi peluang
memiliki rumah yang didiami secara sewa. Jadi, majlis bersetuju pada
dasarnya membenarkan penghuni membeli rumah di bawah PPR,” katanya. |