Kecewa projek bandar baru
terbengkalai
07/06/2006 Berita Harian
PADA 2002 penduduk Kampung Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan dikejutkan dengan
pengambilan tanah oleh Majlis Daerah Tumpat( MDT) untuk dijadikan Bandar
Baru Kota Kubang Labu. Walaupun ada yang tidak setuju dengan projek itu,
mereka terpaksa akur selepas menerima bayaran pampasan yang tidak setimpal
dengan harga tanah semasa.
Projek Bandar Baru Kota Kubang Labu ini diserahkan kepada sebuah syarikat
dari Kuala Lumpur. Memandangkan peneraju syarikat ini adalah anak Kelantan
yang berjaya dalam bidang perniagaan, ramai yang sanggup membeli rumah dan
lot kedai yang tawarkan. Borang permohonan laris bagai pisang goreng panas.
Peringkat awal projek berjalan lancar dan mendapat pujian penduduk dan
pembeli. Disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.
Kini selepas empat tahun, pembeli mula gelisah, rumah tidak siap, gaji
dipotong dan terpaksa pula menanggung bayaran rumah sewa, hutang bank dan
sebagainya.
Bila dihubungi pemaju pelbagai alasan diberikan. Untuk mengaburi mata
pembeli, digaji beberapa pengawal untuk menjaga tapak projek kononnya projek
itu akan diteruskan. Harap-harap begitulah.
Tetapi, hari berganti bulan, bulan berganti tahun, projek tidak bergerak.
Lebih menyedihkan projek yang diusahakan bersebelahan tapak projek itu
hampir siap walaupun projek yang terbengkalai ini bermula dulu.
Khas kepada kedua-dua wakil rakyat, tolong selesaikan masalah ini. Pemaju
diharap dapat menyambung semua projek terbengkalai itu. Kami tidak sanggup
lagi menanggung derita ini.
PEMBELI KECEWA.
Kota Bharu, Kelantan. |