This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Jual rumah selepas siap

Harian Metro 23/06/2006

PUTRAJAYA: Tempoh dua tahun diberikan kerajaan untuk melihat keberkesanan sistem pembinaan rumah menerusi konsep bina dan jual yang boleh mengatasi masalah projek terbengkalai hingga membebankan pembeli.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini bagi memberi peluang kepada pemaju untuk memilih sistem sedia ada iaitu menerusi bayaran berjadual atau konsep baru, selain mengelak kontraktor kecil dan sederhana ‘gulung tikar’.

“Kita akan tengok perkembangannya dalam tempoh dua tahun sebelum meneliti semula konsep itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan kali ke-54 di sini, semalam.

Dalam kata lain, konsep baru yang diumumkan itu boleh mengelak kerugian bagi pihak pembeli terutama jika projek terbengkalai, namun ia boleh membebankan pemaju kecil dan sederhana.

Najib berkata, majlis itu bersetuju supaya bayaran 10 peratus daripada harga jualan dikenakan kepada pembeli manakala bakinya selepas rumah siap sepenuhnya.

Namun, katanya, sistem konvensional tidak akan dimansuhkan sebaliknya ia akan digunakan selari dengan konsep baru.

“Ini hanya keputusan pokok, sebab dari segi pelaksanaannya itu akan dibincang mengikut kes oleh kerajaan negeri. Ada syarat lain seperti jumlah rumah kos rendah dan sederhana yang perlu diambil kira.

“Pembahagian itu harus didasarkan kepada lokaliti dan permintaan setempat, maka kita tak boleh tetapkan dasar umum,” katanya.

Selain itu, Najib mengumumkan, unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) boleh dibeli pada harga RM35,000 di Semenanjung dan 20 peratus lebih tinggi di Sabah, Sarawak (RM42,000), tetapi tidak dibenarkan pindah milik hingga 10 tahun.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan dasar itu akan dibincang secara terperinci dengan semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.