Hasrat penduduk berkecai
Kosmo 19/6/2006
KUALA LUMPUR - Penduduk Pangsapuri Kos Sederhana Taman Jinjang Baru di sini
terpaksa melupakan sahaja hasrat mendapatkan hak milik strata rumah mereka
dalam tempoh tiga bulan ini.
Masalah timbul kerana Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan tidak
dapat meluluskan permohonan itu kerana mendakwa, pemaju Titi Kaya Sdn. Bhd.
gagal melengkapkan dokumen berkaitan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Yee Poh Ping berkata, perkara
itu diketahui setelah Jawatankuasa Penduduk menemui pegawai di jabatan
berkenaan pada 7 Jun lepas.
"Justeru, penduduk memutuskan untuk mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah
bagi mengetahui butir-butir dokumen yang masih belum dilengkapkan.
"Seterusnya, dokumen itu akan diserahkan kepada pemaju supaya permohonan
tersebut dapat diteruskan," katanya ketika majlis dialog mengenai isu strata
antara pembeli dan pemaju Taman Jinjang Baru semalam.
Walau bagaimanapun, dialog itu hambar apabila wakil pemaju tidak kelihatan
atas alasan bimbang reaksi penduduk pangsapuri berkenaan yang mungkin di
luar kawalan.
KOSMO! sebelum ini melaporkan, wakil pemaju berjanji akan memberikan hak
milik strata kepada penduduk dalam tempoh tiga bulan setelah penantian
mereka selama 15 tahun untuk memperoleh hak milik itu tidak kesampaian. |