Dipulih selepas tunggu 23
tahun
Kosmo 19/6/2006
SEREMBAN - Siapa sangka setelah menanti penuh sabar selama 23 tahun akhirnya
rumah idaman yang dinanti-nantikan bakal diduduki jua.
Rumah teres setingkat bernilai RM60,000 di Taman Senawang Jaya Fasa 1-C
yang sepatutnya siap pada 1985 mula terbengkalai sejak akhir 1983 sehingga
menyebabkan beberapa pembeli berputus asa untuk menanti rumah idaman mereka.
Kini seramai 87 pembeli rumah tersebut mampu menarik nafas lega apabila
projek perumahan sebanyak 96 unit itu diambil alih Syarikat Perumahan
Negara Berhad (SPNB).
Ahli Jawatankuasa Perumahan Terbengkalai Taman Senawang Jaya Fasa 1-C, Abu
Bakar Md. Top, 58, berkata, tidak sia-sia pengorbanan dan keperitan yang
dilalui mereka selama ini apabila projek ini bakal dibaik pulih kelak.
"Proses pembersihan kawasan semak-samun di taman perumahan ini telah
dilakukan pada 15 Mei lalu dan berakhir semalam.
"Saya dimaklumkan kerja-kerja membaik pulih rumah-rumah di sini akan
mengambil masa 8 bulan tetapi proses penamaan tender kepada kontraktor untuk
menyiapkan rumah akan dilakukan terlebih dahulu,” katanya.
Pada 1 Jun 2005, KOSMO! pernah menyiarkan rintihan pembeli rumah di taman
berkenaan.
Sebanyak 87 daripada 96 unit telah dijual ketika dipromosikan oleh pemaju
pada 1983. Kebanyakan pembeli juga telah menjelaskan bayaran antara RM30,000
hingga RM40,000 untuk memiliki rumah baru mereka.
Semasa terbengkalai kebanyakan rumah hanya siap antara 50 ke 60 peratus
sebelum kerja-kerja pembinaan dihentikan.
Dalam pada itu, Abu Bakar bersyukur dan berterima kasih kepada SPNB kerana 'membela'
nasib mereka.
"Kebanyakan pembeli masih gagal dihubungi dan dikhuatiri ada di antara
mereka yang mungkin teiah meninggal dunia kerana menunggu terlalu lama rumah
idaman mereka.
"Saya berharap jika terdapat waris atau pembeli yang ingin mendapatkan
maklumat lanjut boleh menghubungi saya di 016-3981914," katanya. |