Bina dan jual dilulus
Utusan Malaysia 23/06/2006
PUTRAJAYA 22 Jun - Kerajaan hari ini bersetuju memperkenalkan pembinaan
projek perumahan menggunakan konsep 'bina dan jual' yang hanya memerlukan
para pembeli membayar pendahuluan 10 peratus harga jualan dan bakinya
dilunaskan selepas rumah siap.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, buat permulaan
konsep ini akan dicuba oleh pemaju-pemaju selama dua tahun dengan pemantauan
kerajaan.
"Selepas dua tahun, sekiranya ia lebih baik (daripada kaedah konvensional
sekarang) kerajaan akan meneliti semula dasar ini.
"Bagaimanapun kaedah konvensional tidak akan dimansuhkan dan ia berjalan
selari dengan konsep baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas
mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-54 di sini
hari ini.
Konsep bina dan jual ini sebelum ini banyak dicadangkan oleh pihak pengguna
ekoran projek-projek rumah terbengkalai yang banyak membebankan rakyat.
Menurut Najib, keputusan yang dicapai hari ini merupakan keputusan secara
prinsip sahaja dan perincian pelaksanaannya akan dibincangkan secara kes
demi kes dengan kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kata beliau, ini kerana terdapat syarat-syarat, lain yang perlu dipatuhi
pemaju seperti jumlah rumah kos rendah dan sederhana yang perlu dibina
berdasarkan kawasan tertentu dan permintaan setempat.
Menjelaskan perkara tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk
Seri Ong Ka Ting berkata, pemaju yang memilih konsep ‘bina dan jual' akan
diberikan pakej insentif antaranya dikecualikan bayaran deposit bagi
mendapatkan lesen memajukan projek.
Katanya, pada masa sekarang pemaju sekurang-kurangnya perlu membayar deposit
sebanyakRM200,000.
Beliau berkata, pemaju yang menggunakan konsep baru itu juga akan memperoleh
kelulusan yang lebih cepat berbanding tempoh sedia ada dan kelonggaran dari
segi keperluan membina rumah kos rendah di tapak yang akan dibangunkan.
"Katakan di lokasi yang sudah ada rumah kos rendah, mereka boleh bina rumah
kos sederhana, perincian mengenai perkara itu adalah bergantung kerajaan
negeri dan kementerian akan berbincang dengan mereka.
"Ini semua akan dijadikan pakej untuk dipilih oleh pemaju, kalau pemaju
tidak guna sistem bina dan kemudian jual, maka mereka kena patuh kepada,
syarat sedia ada iaitu deposit, rumah kos rendah perlu dibuat secukupnya dan
masa menunggu untuk mendapatkan lesen adalah seperti biasa," katanya.
Menurut Najib, konsep yang sedia ada masih diterus diamalkan setelah
kerajaan mengambil kira syarikat pemaju keeil dan sederhana yang tidak
mempunyai modal besar.
"Jangan lupa pemaju kecil dan sederhana, barangkali mereka boleh gulung
tikar kerana tidak ada kemampuan untuk menggunakan konsep bina dan jual ini,"
katanya.
Sementara itu, kata Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat tersebut juga
bersetuju memperkenalkan dasar penjualan sebahagian daripada rumah yang
dibina di bawah program perumahan untuk rakyat kepada para penyewanya.
Katanya, ia dibuat setelah kerajaan menerima banyak permohonan dan rayuan
supaya penghuni-penghuni yang menyewa disitu diberi peluang membeli rumah
yang mereka diami secara menyewa selama ini.
"Rumah-rumah rakyat itu sebelum ini dibina khusus untuk menyelesaikan
masalah setinggan dan kita terima banyak permohonan dan majlis bersetuju
supaya dasar membenarkan penghuni membeli rumah-rumah di bawah program
perumahan rakyat diperkenalkan," katanya.
Najib berkata, rumah-rumah tersebut akan dijual dengan harga RM35,000 seunit
di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak harganya 20 peratus lebih
tinggi.
Dasar ini kata beliau, akan dibincangkah secara terperinci dengan semua
kerajaan negeri dan DBKL untuk menentukan kawasan perumahan mana yang akan
terlibat dengan dasar itu dan kawasan mana pula yang akan kekal di bawah
skim sewaan.
"Ini kerana ada juga dalam satu kawasan perumahan yang mana-mana
penjualannya berdasarkan kepada blok. Mana blok yang akan disewa dan mana
blok yang dibenarkan dijual kepada penghuni," katanya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, segala urusan penjualan dibuat
melalui bank dan institusi kewangan dan kerajaan akan mengenakan beberapa
syarat seperti tidak dibenarkan pindah milik selama 10 tahun. |