Bina dan jual perkukuhkan
industri hartanah negara
Utusan 23/06/2006
KUALA LUMPUR 23 - Jun Konsep bina dan jual dalam melaksanakan projek
pembangunan kediaman bakal mewujudkan persekitaran daya saing yang tinggi
dan menyediakan industri tempatan ke arah proses globalisasi.
Pengerusi Pusat Pengajian Dasar Awam, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata,
kesan itu akan dapat dilihat dalam tempoh jangka sederhana dan panjang
apabila para pemaju kecil mula bergabung bagi mewujudkan entiti yang lebih
besar.
Menurut beliau, penggabungan di kalangan para pemaju pasti berlaku kerana
pelaksanaan konsep tersebut tidak mungkin dapat dipikul oleh pemaju kecil.
Ia kerana, katanya, para pemaju kecil tidak mungkin mempunyai aliran tunai
yang cukup untuk menampung kos projek pembinaan yang tinggi sehingga ia
diselesaikan.
Kalau mengikut konsep konvensional, para pemaju kecil mungkin boleh bertahan
kerana mereka dibiayai oleh pembayaran berperingkat yang dibuat pembeli
tetapi apabila konsep baru ini diperkenalkan syarikat pemaju perlu mempunyai
modal yang tinggi, katanya.