46 projek rumah terbengkalai
di NS
30/06/2006 Kosmo
SEREMBAN-Sebanyak 46 projek perumahan dikenal pasti masih terbengkalai di
negeri ini dengan ada di antaranya berlarutan sejak 20 tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri,
Datuk Woo Ah Lek memberitahu, kebanyakan projek itu terbengkalai disebabkan
pemaju berdepan masalah kewangan.
Menurutnya, pemaju terbabit tidak mampu menyiapkan projek walaupun sudah
mencapai kemajuan 40 hingga 70 peratus.
"Kita akan pastikan semua projek baru berjalan lancar bagi memastikan
pembeli tidak tertipu dengan pelbagai janji manis pemaju,"katanya ketika
dihubungi semalam.
Menurut Ah Lek, kerajaan negeri akan berusaha memulihkan projek perumahan
terbengkalai itu secara berperingkat-peringkat dengan Syarikat Perumahan
Negara (SPNB) atau pemaju asal yang berupaya meneruskan kerja tersebut.
Selain itu, katanya Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan (UPKT) akan
memantau setiap projek perumahan yang dibina di negeri ini bagi memastikan
hak pembeli terpelihara.
"Saya harap pembeli bagi projek terbengkalai bekerjasama dengan UPKT kerana
kerajaan negeri komited memulihkan setiap projek berkenaan.
Kerja-kerja memulihkan projek terbengkalai terbengkalai mengambil sedikit
masa kerana perlu dibuat dengan teliti dan terpaksa melalui aspek
perundangan,"katanya.
Pada masa ini, pihaknya sedang memulihkan projek perumahan Taman Senawang
Jaya fasa 1C dekat sini, membabitkan rumah teres kos sederhana yang
terbengkalai lebih 20 tahun. |